Perak Hari Ini

Hasnul Seru NGO, Badan Korporat Bantu Pelajar Sekolah Kurang Berkemampuan

IPOH: Badan-badan bukan kerajaan (NGO) dan syarikat korporat diseru untuk berganding bahu membantu menyelesaikan masalah pelajar sekolah menengah yang kurang berkemampuan.

Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi, Multimedia dan NGO negeri, Hasnul Zulkarnain Abd Munaim berkata, sehingga kini, masih terdapat golongan pelajar tersebut yang terpaksa berlapar ketika sesi waktu rehat berlangsung.

Jelasnya, kebanyakan daripada mereka ialah pelajar yang pernah menerima Rancangan Makanan Tambahan (RMT) ketika berada di sekolah rendah namun, inisiatif tersebut tidak di peruntukan ke sekolah menengah.

Ujarnya, beliau akan mengusulkan suatu cadangan yang melibatkan NGO dan badan korporat bagi menangani masalah tersebut daripada terus berlarutan.

“Kita mengharapkan Kementerian Pendidikan agar dapat memberi kerjasama kepada usaha ini, supaya syarikat besar mahupun badan-badan korporat yang membantu akan mendapat pelepasan cukai.

“Ia juga akan menggalakkan lebih ramai lagi ahli korporat lain yang turut sama ingin membantu menjayakan usaha ini.

“Walaupun ia adalah perkara terpencil namun masalah ini akan kita perhalusi. Ianya adalah satu tanggungjawab kemanusiaan.

“Oleh itu kita jangan biarkan anak-anak murid ini daripada terus terbeban sehingga menganggu tumpuan mereka di dalam kelas,” katanya.

Selain itu, tambah Hasnul, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Titi Serong berkata akan melancarkan inisiatif tersebut di kawasannya  pada bulan hadapan.

Katanya lagi ia kemudian akan diusulkan kepada Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu supaya inisiatif yang sama dapat diperluaskan ke seluruh negeri.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada majlis Perasmian Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Usahawan Bersatu Ipoh (PUBI) Kali Ke-3 di Hotel Casuarina Meru Raya, di sini, hari ini.

Ketika berucap pada majlis, Hasnul menyeru agar PUBI dapat melibatkan diri dalam usaha yang bakal dilaksanakan itu kelak.

Selain dapat membantu nasib pelajar yang kurang berkemampuan ia juga dapat mengetengahkan lagi nama PUBI di peringkat Kementerian Pendidikan mahupun Jabatan Pendidikan Daerah.

Pada perkembangan sama, ketika ditanya pemberita berkenaan perkembangan terkini K-Perak Implementation And Coordination Corporation (K-Perak), beliau berkata pengumuman rasmi berkenaan senarai Ahli Lembaga Pengarah yang baharu akan dibuat kelak.

Walau bagaimanapun katanya, antara nama yang akan dikekalkan ialah Bekas Setiausaha Kerajaan Perak, Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");