Sukan Hari Ini

Hati Mun Yee Sudah Dimiliki

KUALA LUMPUR: Dianggap antara atlet wanita negara yang memiliki rupa paras yang cantik, Leong Mun Yee sering menjadi tumpuan lensa kamera dan peminat.

Malah, dek kerana kecantikan dan kejayaannya dalam sukan terjun yang sudah diceburinya sejak 25 tahun lalu, tidak hairan Mun Yee mempunyai ramai pengikut di media sosial termasuk Instagram apabila lebih 127,000 pengikut yang tidak mahu terlepas mengikuti perkembangannya.

Ketika ramai sudah tahu mengenai kehidupan Mun Yee atau lebih mesra disapa Angela sebagai atlet, ramai sebenarnya ingin mengetahui sisi lain kehidupannya terutamanya sama ada hati penerjun yang genap berusia 34 tahun pada 4 Disember lalu itu sudah dimiliki?

“Saya akui itu antara soalan popular termasuk keluarga yang sering bertanya bila saya mahu mendirikan rumah tangga

“Sebenarnya saya sudah mempunyai teman lelaki istimewa dan sudah mengenalinya sejak tiga tahun lalu,” katanya yang enggan mendedahkan siapakah lelaki bertuah yang berjaya memikat hatinya itu.

Mun Yee yang sudah mengumpul 16 pingat emas Sukan SEA sejak membuat penampilan sulung di Jakarta 1997 mengakui teman lelakinya itu cukup memahami dengan kesibukan dirinya sebagai penerjun serta penuntut Sarjana Komunikasi Korporat di Universiti Putra Malaysia (UPM).

“Dulu memanglah selalu (soalan tentang perkahwinan diajukan) tetapi sekarang ini mereka (keluarga dan teman lelaki) faham dengan impian saya.

“Bagi saya, biarlah sehingga Sukan Olimpik Tokyo 2020 berakhir. Saya mahu bersara selepas temasya itu dan baru memikirkan tentang perkahwinan,” katanya.

Menjadi adat seorang personaliti, Mun Yee menceritakan dia juga mempunyai peminat fanatik yang sering mengikuti perkembangan dirinya dan sering kali menghantar pelbagai hadiah.

“Hadiah yang biasa seperti patung mainan atau bunga tetapi tidaklah hadiah yang mahal macam kereta. Saya tetap menghargai peminat kerana jika saya di tempat peminat pun pastinya saya mahu orang yang saya minati itu menerimanya,” katanya.

Mula bergelumang dalam sukan terjun sejak umur 10 tahun, Mun Yee berkata dia sangat gembira dapat meraikan Tahun Baharu Cina tahun ini selepas lama tidak dapat merayakannya berikutan tuntutan kerjanya sebagai penerjun negara.

“Saya pun sudah tak ingat bila kali terakhir dapat sambut dengan keluarga kerana selalunya saya sering menjalani latihan di luar negara atau pun kejohanan ketika berlangsung Tahun Baharu Cina.

“Biarpun ketika Tahun Baharu Cina saya menjalani latihan di China, tetapi di sana sambutannya berbeza. Yang pastinya di China tidak ada Yee Sang yang menjadi tradisi ketika meraikannya di Malaysia,” katanya yang bakal kembali menjalani latihan seperti biasa pada hari kedua Tahun Baharu Cina.

Pandalela Rinong (dua dari kanan) dan Cheong Jun Hoong (kanan) memenangi pingat emas manakala Leong Mun Yee (dua dari kiri) dan Nur Dhabitah Sabri raih gangsa dalam acara 10m Synchro platform wanita akhir di temasya Sukan Komanwel Gold Coast 2018. – NSTP/Yazit Razali

INFO

Nama: Leong Mun Yee

Nama panggilan: Angela

Tarikh lahir: 4 Disember 1984

Asal: Ipoh, Perak

Sukan: Terjun

Hobi: Menonton wayang, membeli belah

Pencapaian:

• Sukan SEA – 16 pingat emas sejak penyertaan pada temasya Jakarta 1997

• Kejohanan Terjun Dunia FINA –

• 2009 di Rome – gangsa 10m platform seirama wanita

• 2013 di Barcelona – gangsa 10m platform seirama wanita

• Kejohanan Siri Dunia Terjun FINA- 2011 di Beijing – perak 10m platform seirama wanita

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");