Perak Hari Ini

Insiden PRK DUN Semenyih: Pemuda PH Tak Berdendam

IPOH: Pimpinan Pemuda Pakatan Harapan (PH) tidak akan berdendam ekoran insiden kekecohan yang menimpa ketuanya , Syed Saddiq Syed Abdul Rahman selepas penamaan calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih, pada kelmarin.

Timbalan Ketua Pemuda PH, Howard Lee Chuan How berkata, kesemua pemimpin PH sekali pun tidak akan berdendam dengan mana-mana pihak berhubung isu yang sama.

Katanya lagi, PH akan menyerahkan perkara tersebut kepada pihak berkuasa untuk diambil sebarang tindakan yang sewajarnya.

“Tidak pernah mana-mana pemimpin PH yang akan berdendam. Sewaktu PRK Kuala Kangsar berlangsung dahulu, semasa menjadi pembangkang, leher saya pernah dicekak oleh individu yang didakwa berasal daripada Langkawi.

“Saya ada menjemputnya untuk berjumpa namun dia tidak mahu. Tidak mengapa. Kini kita berfungsi sebagai parti kerajaan, dan saya kini sebagai salah seorang Exco Kerajaan Negeri,” katanya.

Sejak kelmarin, tular di media sosial melalui klip video selama 22 saat yang memaparkan Syed Saddiq dikerumuni penyokong parti pembangkang ketika dalam perjalanan menuju ke keretanya selepas selesai proses penamaan calon bagi PRK DUN Semenyih.

EXCO Pemuda UMNO, Wan Muhammad Azri Wan Deris atau lebih dikenali sebagai Papagomo dikatakan adalah individu yang bertindak mencekik Menteri Belia dan Sukan itu.

Dalam pada itu, Howard yang juga Ketua Pemuda DAP Kebangsaan berkata, perkara tersebut tidak memberi ancaman kepada PH sebaliknya ia dilihat sebagai satu ancaman kepada perkembangan demokrasi negara.

“Apabila semua pihak sedang berusaha membangunkan dan memajukan demokrasi negara, UMNO dan Barisan Nasional (BN) masih mengekalkan cara lama,” katanya.

Pada masa sama, Howard yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia dan Sukan Perak, berkata beliau berasa bangga apabila PH menamakan Muhammad Aiman Zainali, 30 sebagai calon di PRK tersebut.

Katanya ia sebagai bukti di mana PH begitu komited dalam memberi ruang dan peluang kepada golongan belia untuk ke hadapan.

Terdahulu beliau ditemui dalam sidang media penganjuran persidangan industri profesional e-Sukan (EPIC) 2019 di Bangunan Perak Darul Ridzuan, dekat sini, pada Isnin.

Pengarah projek yang juga pemangku Ketua Eksekutif Pusat Aspirasi Anak Perak (PASAK), Fikri Junit berkata, penyertaan bagi acara kejohanan e-Sukan peringkat daerah Kinta akan dibuka kepada umum namun, ianya akan diutamakan kepada anak Perak.

Walau bagaimanapun, ujarnya bagi acara berkumpulan, penyertaan harus sekurang-kurangnya 60 peratus terdiri daripada peserta yang berasal daripada negeri ini.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");