Berita Hari Ini

Isu Di Semenyih Dalam Perhatian Kerajaan Selangor – Amirudin

HULU LANGAT: Kerajaan Selangor akan menyegerakan penggantian saluran paip air bawah tanah yang sudah usang di Semenyih, sekiranya wujud keperluan mendesak di kawasan itu.

Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari, berkata kerajaan negeri itu akan meneliti semua kawasan yang kerap mengalami gangguan bekalan air kerana paip bocor, termasuk Semenyih dan akan mempercepatkan proses penggantian jika kes kebocoran terlalu kerap.

Katanya, proses penggantian saluran paip air bawah tanah di seluruh Selangor sudah bermula sejak lima tahun lalu, namun prosesnya terpaksa dilakukan secara berperingkat kerana membabitkan kos yang besar.

“Kita memang dalam usaha gantikan 27,000 kilometer (km) paip di seluruh Selangor. Kita baru saja selesaikan beberapa fasa dalam bulan Ogos lalu.

“Sekarang memang prosesnya perlahan, namun mulai tahun depan, kita akan menggerakkan dana RM1 bilion setiap tahun untuk menggantikan paip lama,” katanya ketika ditemui selepas Perlawanan Persahabatan Bola Sepak di Padang Awam Semenyih dekat sini, malam tadi, lapor BH Online.

Sebelum ini, BH melaporkan kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih berdepan isu gangguan bekalan air yang kronik disebabkan kekerapan kes paip bocor di situ.

Tinjauan BH serta semakan di Twitter Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) antara 7 Februari hingga 20 Februari lalu mendapati sekurang-kurangnya 11 kes gangguan bekalan air dalam tempoh 14 hari berlaku di Semenyih.

Mengulas lanjut, Amirudin berkata, kerajaan Selangor sudah menukar 4,000 km daripada 27,000 km saluran paip air dalam tempoh lima tahun, dengan purata hampir 1,000 km saluran paip ditukar setahun.

Mengenai jumlah lori muatan berat yang terlalu tinggi di Jalan Sungai Lalang, Semenyih, Amirudin berkata pihaknya akan mengehadkan penggunaan kenderaan berkenaan di laluan utama penduduk beberapa kampung itu, dengan memperkenalkan jadual perjalanan kepada mereka.

Katanya, masalah membabitkan jalan raya di Semenyih diakui menjadi isu besar bagi penduduk setempat, khususnya jumlah lori muatan berat berikutan wujud beberapa kuari di Jalan Sungai Lalang.

“Namun, kuari yang beroperasi di Sungai Lalang sudah hampir ditutup, hanya tinggal beberapa tahun lagi.

“Sementara itu, kita akan awasi jumlah lori yang keluar masuk di situ, termasuk memastikan jadual yang lebih seimbang dengan melihat kesesuaian perjalanan kuari serta kekerapan lori yang mengganggu laluan utama penduduk,” katanya.

Hasil tinjauan BH sebelum ini antara jam 11 pagi hingga 11.30 pagi di Jalan Sungai Lalang mendapati hampir 100 treler, lori muatan berat, lori sampah dan lori pasir keluar masuk jalan dua hala itu dalam tempoh 30 minit, hingga mengancam keselamatan penduduk.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");