Perak Hari Ini

Isu Hina Nabi: Serah Pada Pihak Berkuasa Untuk Ambil Tindakan – Asmuni

IPOH: Semua pihak diminta untuk tidak terlalu mengikut perasaan berhubung kes penghinaan terhadap Nabi Muhammad SAW menerusi karikatur jelik oleh seorang lelaki warga emas baru-baru ini.

Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Perak, Asmuni Awi berkata, sebaliknya perkara tersebut hendaklah diserahkan kepada pihak berkuasa untuk mengambil tindakan yang sewajarnya.

Rabu lalu, lelaki yang menggunakan nama Facebook Foo Sing Wai yang ditahan kerana menghina Nabi Muhammad SAW dan isteri baginda, Saidatina Aishah menerusi Facebook telah dibebaskan dengan jaminan polis selepas tiga hari ditahan.

Asmuni yang juga bekas peguam menjelaskan bahawa proses tersebut adalah amalan biasa dalam sistem perundangan yang diamalkan di negara ini.

“Dibebaskan dengan jaminan polis itu perkara biasa. Jika tidak dibebaskan, polis pula akan dikenakan tindakan kerana tidak mengikut peraturan.

“Perintah reman kata empat hari, tetapi ditahan lima hari. Polis boleh kena saman. Kerajaan pula terpaksa bayar pampasan,” katanya dalam satu sidang media di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini, hari ini.

Dalam pada itu ujarnya semua pihak hendaklah patuh kepada sistem peraturan yang telah ditetapkan.

“Pihak yang menyiasat melalukan kerja secara bebas. Pihak yang akan membuat pendakwaan juga bekerja dengan bebas. Mereka tidak mencampuri urusan masing-masing.

“Kecuali untuk mendapatkan rujukan. Apabila kertas siasatan siap, dia akan merujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk meneliti kertas siasatan tersebut,” katanya.

Dalam pada itu, Asmuni turut mengingatkan agar perkara sedemikian tidak cuba dijadikan isu untuk diperbesar-besarkan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

Ujarnya, orang ramai harus berhati-hati dalam menerima segala maklumat berkenaan perkara ini khususnya yang berlegar-legar dalam laman sosial.

“Kita jangan terpengaruh oleh cubaan sesetengah pihak yang cuba membangkitkan perasaan kebencian antara kaum.

Kita mahu hidup secara harmoni dan saya bersyukur, walaupun ada usaha seumpama itu namun, majoriti rakyat tidak menerimanya,” katanya.

Semalam, Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun dalam satu kenyataan berkata Polis sudah membuka tiga kertas siasatan berhubung kes penghinaan ke atas agama Islam, Nabi Muhammad SAW dan isteri baginda, Saidatina Aisyah.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");