Kerajaan Negeri Bakal Lancar Kempen Pelancongan Di Jerman Pada Mac

IPOH: Bagi menarik lebih ramai kedatangan pelancong asing ke Perak, kerajaan negeri bakal melancarkan kempen pelancongan ‘101 Pengalaman Di Perak’ pada bulan hadapan di Berlin, Jerman.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Negeri, Tan Kar Hing berkata ia akan dilancarkan pada satu acara pelancongan antarabangsa dan bakal dirasmikan oleh Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

Katanya, kerajaan negeri kini sedang mempertingkatkan industri pelancongan pengalaman ataupun Tourism Experience terhadap produk-produk pelancongan tempatan.

“Peniaga konvensional mungkin tidak tahu cara untuk memberi nilai tambah dan memperhebatkan lagi promosi produk mereka. Oleh sebab itu kita akan memberi pendedahan kepada mereka.

“Setakat ini, sekitar 60 ke 90 produk yang telah bersetuju untuk kita bawa ke Berlin supaya dapat kita menarik minat pelancong asing datang berkunjung ke Perak,” katanya.

Menurutnya, pada tahun 2017,bagi tempoh Januari sehingga Jun, jumlah kedatangan pelancong asing ke negeri ini berjumlah 146,603 orang dan manakala bagi tahun 2018 pula, dalam tempoh sama, jumlahnya menunjukkan peningkatan sebanyak 3 peratus iaitu seramai 151,471 orang.

Ujar Kar Hing, kerajaan negeri akan memperhebatkan lagi sektor pelancongan pengalaman yang akan mengetengahkan keunikan, kebudayaan dan kesenian di Perak kepada pelancong asing.

Dalam pada itu katanya, kerajaan negeri kini sedang menjalankan beberapa projek pembangunan pelancongan termasuk projek yang dijalankan bersama-sama Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC).

Antaranya, projek pembangunan Lata Tebing Tinggi di Selama, pembinaan Rumah Datuk Lat di Batu Gajah serta Pusat Eko-Pelajaran Hutan Paya Laut Matang.

Pada masa sama katanya kerajaan negeri juga sedang giat melaksanakan projek Keselamatan Bandar iaitu projek menaiktaraf lampu-lampu jalan khususnya di kawasan tumpuan pelancong seperti di sekitar Kinta Riverwalk.

“Kita kini sedang menghadapi masalah kekurangan peruntukan namun, melalui dasar-dasar oleh kerajaan persekutuan, ia dilihat mampu menarik banyak pelaburan asing oleh pemain industri antarabangsa.

“Sebagai contoh program Malaysia Rumah Kedua Ku (MM2H) yang mana peserta ini boleh memiliki aset di sini, dan sekali gus membolehkan mereka membuka hotel, pusat peranginan dan sebagainya.

“Ini juga akan membantu menarik minat para pelabur untuk ke Perak,” katanya ketika ditemui pada program karnival pelancongan anjuran Persatuan Pelancongan Cina Malaysia (MCTA) Perak di Pasaraya Ipoh Parade, di sini, hari ini.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");