Perak Hari Ini

Kerajaan Negeri Nafi Tukar Nama Jalan Panglima Bukit Gantang Wahab

IPOH: Kerajaan Perak menafikan dakwaan yang tular di laman sosial kononnya nama Jalan Panglima Bukit Gantang Wahab di Ipoh telah diberikan nama baharu iaitu Jalan Koo Chong Kong, sebagaimana yang tersebar di laman sosial hari ini.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, apa sahaja maklumat lain yang disebarkan di media sosial mengenai perkara tersebut adalah berniat jahat dan mahu menimbulkan keresahan dalam kalangan masyarakat berbilang kaum dan agama.

Jelasnya, hasil semakan mendapati terdapat pihak tidak bertanggungjawab yang telah memanipulasi sekeping surat rasmi daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) kepada Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Perak bertarikh 26 Februari 2019.

“Adalah dimaklumkan, surat tersebut bertujuan untuk memaklumkan bahawa KKM telah meluluskan permohonan Jabatan Kesihatan Negeri Perak bagi menukar alamat daripada Jalan Panglima Bukit Gantang Wahab kepada Jalan Koo Chong Kong.

“Langkah ini bertujuan mengemaskini dan menyeragamkan alamat pejabat Jabatan Kesihatan Negeri Perak bagi kemudahan orang ramai dan urusan surat menyurat.,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Tambah beliau, perkara tersebut juga bersandarkan kepada keberadaan lokasi pintu masuk utama bangunan Pejabat Kesihatan Negeri Perak dan ianya telah disahkan oleh Jabatan Warisan, Majlis Bandaraya Ipoh (MBI).

Katanya lagi, bangunan Tabung Haji Perak yang terletak sebaris dengan bangunan Jabatan Kesihatan Negeri, turut menggunakan alamat Jalan Koo Chong Kong dan bukannya Jalan Panglima Bukit Gantang Wahab.

“Kerajaan negeri menyeru semua pihak untuk berhenti menyebarkan maklumat yang tidak berasas bagi mengelakkan keresahan dan kekeliruan di kalangan masyarakat,” ujarnya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");