Berita Hari Ini

Khabar Angin Dilantik TPM: Saya Sedang Dibius Ketika Itu, Seloroh Azmin

PETALING JAYA – Meskipun diberikan cuti sakit selama sebulan untuk berehat sehingga 1 Mac ini, Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Azmin Ali tidak betah untuk duduk diam sahaja.

Sebaliknya, beliau telah mula masuk ke pejabat semalam, dua hari selepas keluar daripada hospital untuk menyelesaikan beberapa kerja tertangguh.

Azmin juga mengesahkan akan “berkampung” di Semenyih bagi memberi sokongan kepada calon Pakatan Harapan yang akan bertanding pada pilihanraya yang akan berlangsung 3 Mac ini.

“Saya sudah sihat.

“Saya akan “berkampung” di Semenyih kerana Semenyih berada di Selangor dan Selangor dekat di hati saya,” katanya sambil berseloroh yang beliau hilang 10 kilogram berat badan dan kelihatan muda lima tahun selepas keluar hospital.

Azmin sebelum itu membuat kejutan apabila hadir ke Majlis Minum Petang Pimpinan PKR bersama Srikandi hari ini.

Ia merupakan kemunculan pertama beliau di khalayak umum selepas menjalani pembedahan Selasa lalu.

Ketika ditanya mengenai khabar angin beliau bakal dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri selepas perayaan Tahun Baharu Cina ini, secara bergurau Azmin berkata: “Saya sedang dibius ketika itu dan tidak sedar selama empat jam jadi, saya tidak tahu apa yang sedang berlaku di luar.”

Jelasnya, keputusan beliau untuk kembali ke pejabat dan membuat tugasan ringan walaupun telah diberi amaran tegas oleh doktor hanyalah untuk menyelesaikan kerja-kerja yang melibatkan terutamanya pemulihan ekonomi negara dan menurunkan kos sara hidup.

“Doktor tidak gembira apabila saya dilihat bergerak ke sana-sini tetapi saya pastikan tidak akan membuat kerja melebihi kemampuan dan makan ubat mengikut jadual,” katanya lagi.-MalaysiaGazette

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");