Sukan Hari Ini

Kita Cuba Tapi Tak Mampu, Menteri Beritahu Atlet Bertaraf Dunia

SERI KEMBANGAN: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) sedang berusaha mencari dana untuk membantu atlet memerlukan, kata Syed Saddiq Syed Abdul Rahman susulan dakwaan seorang pelari menara yang kecewa tidak dibantu kerajaan walaupun menduduki tangga teratas di peringkat antarabangsa.

Menteri belia dan sukan itu berkata, pihaknya tidak pernah menjanjikan sebarang dana kepada Soh Wai Ching, sebaliknya hanya memberi jaminan akan membantu beliau mencari dana diperlukan.

“Kita tak ada kata kita nak berikan dana, cuma kita kata kita akan bantu cari dana. Itu pun kita tak mampu,” katanya selepas merasmikan Anugerah Pencapaian Cemerlang (ACP) kementeriannya hari ini.

Hadir sama Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Steven Sim.

Baru-baru ini, FMT melaporkan Soh kecewa dengan dengan sokongan menteri pertahanan kepada pelari solo negara, Suwaibah Muhammad Nasir yang memerlukan kira-kira RM4 juta untuk melengkapkan siri Jelajah Kemanusiaan Menakluk 30 Menara Tertinggi Dunia.

Soh yang berada di kedudukan ke-5 dunia dan pertama di Asia berdasarkan ranking Tower Running World Association (TWA) menyifatkan dana RM4 juta itu “mengarut” kerana beliau hanya memerlukan kira-kira RM80,000 sepanjang tahun ini dan masih menunggu surat pengiktirafan sebagai atlet kebangsaan yang dijanjikan kementerian kepadanya.

Mengenai status pengiktirafan itu, Syed Saddiq berkata, KBS sudah mengadakan pertemuan dengan Soh.

“Sebelum ini dah ada urusan dengan dia (Soh) untuk dapatkan pengiktirafan sebaik mungkin, tapi masih ada pertikaian daripada atlet itu.”

Oktober lalu, FMT memetik Soh mempersoalkan tindakan kerajaan memfokuskan sukan tertentu dan memberi dana besar bagi membangunkan “e-sport”, tetapi langsung tidak menghiraukan sukan diceburinya yang memerlukan sedikit dana sahaja.

Beliau mengakui sukan yang diceburinya tidak termasuk dalam acara sukan gemilang seperti Sukan SEA, Sukan Asean atau Olimpik.

“Apapun, saya tetap mengibarkan bendera Malaysia,” katanya kepada FMT.

Bagaimanapun, Syed Saddiq berkata, KBS akan sentiasa bersama atlet negara serta berusaha membantu mereka.

“Jangan pandang rendah kepada atlet. Mereka semua bersama dengan kita. KBS akan bantu apa yang terbaik untuk mereka,” katanya.

Sebelum ini, beberapa pihak mempersoalkan keperluan kira-kira AS$1 juta oleh Suwaibah bagi melengkapkan siri Jelajah Kemanusiaan Menakluk 30 Menara Tertinggi Dunia.

Suwaibah berkata, dana itu diperlukannya bagi menampung kos yang tinggi, termasuk penginapan, tiket kapal terbang, visa serta perkara berkaitan.

Pada satu majlis memperkenalkan Suwaibah, Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu yang merasmikan acara itu menyerahkan Jalur Gemilang kepadanya selaku penaung misi keamanan.

Bagaimanapun, semalam, Mohamad dalam satu kenyataan menafikan beliau menerusi kementeriannya, menaja RM4 juta yang diperlukan pelari solo negara itu.

Sebaliknya, beliau berkata, penyerahan Jalur Gemilang itu sebagai sokongan kepada Suwaibah dalam menjayakan misinya.

Dalam perkembangan lain, Syed Saddiq berkata, KBS dalam proses menentukan tarikh penganjuran acara lumba basikal taraf antarabangsa, Le Tour de Langkawi (LTdL) dalam masa terdekat.

“Kita baru selesaikan (mengenai) tarikh yang sesuai. Ia akan dimaklumkan dalam masa terdekat.”-FMT

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");