Perak Hari Ini

Lapor Kepada Kerajaan Negeri, Sebelum Hebah Kepada Media – MB

TAIPING: Para wartawan diseru untuk turut sama memainkan peranan bagi memastikan kelestarian alam semula jadi di Perak terus terpelihara.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, sekiranya terdapat sebarang bentuk salah laku yang boleh mengundang kepada terjejasnya hutan di negeri ini, ia hendaklah dilaporkan kepada pihak berkuasa mahupun kerajaan negeri terlebih dahulu sebelum diterbitkan.

“Maaf saya sebutkan, namun teguran saya kepada segelintir media yang dilihat seolah-olah tidak mahu bekerjasama dengan kerajaan negeri, dalam memastikan kita dapat menjalankan tugas dengan baik.

“Apabila kita laporkan sesuatu perkara yang berkemungkinan adanya salah laku dalam kalangan penjawat awam, saya harap ianya dapat disalurkan terlebih dahulu kepada kerajaan negeri, sebelum ia dilaporkan.

“Hal ini supaya dapat kita mengambil tindakan dengan kadar segera,” katanya.

Beliau merujuk kepada sebuah laporan media yang mendakwa terdapat syarikat pembalak yang menawarkan ‘elaun pacat’ mencecah sehingga RM30,000 kepada segelintir penguat kuasa, sebagai habuan bagi meninjau kawasan yang berpotensi menjalakan aktiviti pembalakan.

Ahmad Faizal menyeru kepada semua pihak termasuk dalam kalangan rakyat dan media bagi memastikan perkara sedemikian tidak akan berlaku.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis perasmian Program Lestari Komuniti dan Alam Sekitar Kampung Dew, di sini, hari ini.

Hadir sama, isteri Menteri Besar, Datin Seri Dr Nomee Ashikin Mohammed Radzi; Pengerusi Jawatankuasa Kemudahan Awam, Infrastruktur, Pertanian dan Perladangan negeri, Abdul Yunus Jamahri; Dekan Fakulti Sains dan Teknologi Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Dr. Mohammad Kassim serta Pengurus Besar (Perkhidmatan Pelanggan) Bahagian Pembahagian TNB Perak, Datuk Raja Abd Jalil Raja Zaid.

Terdahulu ketika berucap pada majlis, Ahmad Faizal berkata, tindakan menghebahkan sebarang bentuk salah laku kakitangan awam kepada media tanpa merujuk kepada kerajaan negeri terlebih dahulu, adalah sesuatu perbuatan yang merugikan.

“Dilaporkan media bahawa terdapat dalam kalangan penguat kuasa awam yang telah mungkar dan dikatakan telah ‘ambil duit’ serta membiarkan pembalakan haram terus berlaku.

“Apabila sudah keluar di surat khabar, bagaimana saya hendak tangkap. Apabila berita keluar, pencuri itu sudah tentu akan menghentikan kesalahannya.

“Jika pada awal, diberitahu kepada saya, polis mahupun Jabatan Perhutanan, dapatlah kita siasat dan tangkap pelaku tersebut,” jelasnya.

Dalam pada itu katanya lagi, para wartawan mempunyai amanah yang besar dalam usaha membangunkan semula negeri.

Ujarnya, setiap perkara yang dilaporkan itu harus mempamerkan keikhlasan dan bukanya hanya sekadar mahu mengejar jualan berita semata-mata.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");