Berita Hari Ini

Malaysia Tidak Akan Berkompromi Dengan Goldman, Kata Anwar

Malaysia tidak akan berkompromi dengan firma pelaburan gergasi, Goldman Sachs Group Inc berhubung pemulangan dana yang diambil daripada syarikat pelaburan negara, 1MDB, kata Anwar Ibrahim.

Dalam temu bual dengan Bloomberg pada Rabu lalu, bakal perdana menteri itu berkata Goldman harus bertanggungjawab ke atas tindakannya yang melibatkan dana tersebut.

Katanya, negara mempunyai tanggungjawab untuk membongkar jenayah yang mungkin dilakukan oleh Goldman, tetapi menyatakan bahawa beliau tidak pasti sama ada Malaysia mampu mendapatkan semula pampasan AS$7.5 bilion yang dituntut mereka daripada Goldman.

Sementara itu, Fox Business melaporkan bahawa skandal itu boleh menyebabkan Goldman kerugian kira-kira AS$10 bilion.

“Pegawai atasan Goldman percaya pendapatan setahun mereka mungkin lesap kerana skandal itu,” lapornya, yang memetik seorang eksekutif kanan Wall Street yang mempunyai hubungan dengan eksekutif kanan Goldman.

Laporan itu juga memetik pakar undang-undang yang berkata selain lebih AS$7.5 bilion yang perlu ditanggung oleh firma berkenaan yang disebut oleh Anwar, Goldman juga berdepan dengan denda sivil oleh pihak kawal selia AS yang boleh melonjakkan pembayaran akhir melebihi AS$10 bilion.

Bulan lalu, ketua pegawai eksekutif Goldman Sachs Inc, David Solomon memohon maaf kepada rakyat Malaysia berhubung peranan bekas pegawainya, Tim Leissner dalam skandal 1MDB.

Pendakwa raya AS, tahun lalu mengheret dua bekas pegawai Goldman ke mahkamah atas pertuduhan mencuri berbilion ringgit dari 1MDB.

Leissner, bekas rakan kongsi Goldman Sachs di Asia, mengaku bersalah terhadap konspirasi untuk mengubah wang dan melanggar Akta Amalan Rasuah Asing AS.

Roger Ng, seorang lagi bekas pegawai bank Goldman, ditangkap di Malaysia atas permintaan pihak berkuasa Amerika Syarikat dan dijangka akan diekstradisi.-Mkini

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");