Panasnya Hari Ini

Masih Ada Pemimpin PH Bersikap Sosialis, Kata PM

PUTRAJAYA: Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mahu para pemimpin Pakatan Harapan (PH) menjalin hubungan baik dengan ahli perniagaan dan tidak melihat mereka sebagai musuh.

Ini kerana, masih ada pemimpin PH yang bersikap seperti pembangkang dan berpegang kepada prinsip sosialis dan tidak sehaluan dengan ahli perniagaan kerana menganggap mereka sebagai kapitalis yang perlu ditentang.

“Tetapi apabila kita menjadi kerajaan, kita tidak boleh mengecam sistem kapitalis kerana sistem ini membantu menambah pendapatan negara. Mereka yang melabur dan memajukan perniagaan, seterusnya mewujudkan peluang pekerjaan untuk rakyat selain membayar cukai.

“Tanpa mereka, kerajaan tidak akan mempunyai wang yang mencukupi untuk mentadbir negeri dan negara,” katanya ketika berucap dalam sesi pemukiman kerajaan Johor hari ini.

Mahathir menyeru pemimpin PH supaya mengubah pemikiran menjadi pentadbir kerajaan yang bersikap toleransi terhadap golongan kapitalis memandangkan 26% daripada pendapatan mereka disumbangkan kepada kerajaan menerusi cukai korporat.

“Kita masih belum dapat menjalin kerjasama baik dengan peniaga kerana ada yang anggap mereka sebagai kapitalis menindas pekerja dan rakyat, tetapi tanpa kejayaan mereka menjana keuntungan besar, kita juga tidak dapat mengutip cukai daripada mereka.

“Itulah sebabnya kita perlu mengubah fikiran kita. Kita sudah menjadi kerajaan. Kita perlu bekerjasama dan menjalin hubungan baik dengan usahawan dan ahli perniagaan supaya mereka berjaya dan kerajaan boleh terus mengutip cukai daripada mereka,” katanya.

Dalam pada itu, Mahathir meminta semua pemimpin PH supaya memelihara sensitiviti kaum dan agama.

“Jangan keluarkan kata-kata kesat kepada kaum atau agama. Teguran kepada agama lain jangan dibuat, kita mesti jaga sensitiviti masing-masing,” katanya.

Mahathir juga mahu pemimpin PH menyuarakan sebarang rasa tidak puas hati sesama pemimpin lain dan parti, bukannya menerusi saluran media.

“Bincang dahulu dalam parti supaya kita dapat penyelesaian, perlu banyak tolak ansur,” katanya.-FMT

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");