Berita Hari Ini

Kementerian Pertahanan Nafi Taja Dr Suwaibah

KUALA LUMPUR: Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu menafikan beliau menerusi kementeriannya menaja dana RM4 juta diperlukan pelari solo negara, Dr Suwaibah Muhammad Nasir dalam Jelajah Kemanusiaan Menakluk 30 Menara Tertinggi Dunia menjelang 2020.

Menerusi satu kenyataan dikeluarkan Pejabat Menteri Pertahanan, hari ini berkata, Mohamad hanya memberi sokongan kepada usaha Dr Suwaibah itu dalam menjayakan misinya.

“Menteri Pertahanan dan Kementerian Pertahanan tidak pernah menaja kos RM4 juta yang diperlukan Dr Suwaibah.

“Sebaliknya beliau (Mohamad) hanya memberikan sokongan kepada usaha Dr Suwaibah untuk misi menawan 30 menara tertinggi di dunia dan bersedia untuk menyokong usaha-usaha baik yang dilakukan oleh sesiapa sahaja,” kata kenyataan itu, lapor BH Online.

Tambah kenyataan itu lagi, adalah tidak adil mana-mana atlet menuduh sokongan kepada pelari solo itu sebagai berat sebelah sekiranya mereka sendiri tidak pernah mencuba untuk bertemu dan mendapatkan sokongan Kementerian Pertahanan dan menterinya.

Semalam, sebuah portal berita melaporkan sokongan Mohamad kepada Dr Suwaibah itu dianggap berat sebelah oleh atlet ‘tower running’ negara, Soh Wai Ching kerana dia juga melakukan perkara sama dan mempunyai lebih berkelayakan.

Bagaimanapun, Dr Suwaibah menjelaskan sokongan Menteri Pertahanan itu bukan perkara luar biasa kerana dia adalah ikon pembangunan sukan tentera udara sejak 2017.

Dr Suwaibah dan pasukannya memaklumkan mereka tidak meminta dana penajaan daripada menteri sebaliknya mencari sumbangan badan-badan korporat untuk menjayakan misi mereka.

Difahamkan, perjalanan Dr Suwaibah menjelajah 30 negara itu diiringi 10 pengiring termasuk anggota tentera udara yang diberi pelepasan.

Wai Cheng, 25, adalah atlet yang berada di kedudukan ke-5 dunia dan pertama di Asia berdasarkan ranking Tower Running World Association (TWA).

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");