Perak Hari Ini

MB Perak Persoal Status Dana RM90 Juta

Tindakan PAS menarik balik saman fitnah terhadap editor Sarawak Report, Clare Rewcastle Brown menimbulkan persoalan mengenai status dana RM90 juta yang didakwa diterima oleh parti itu daripada kepimpinan Umno sebelum ini.

Menteri Besar Perak, Ahmad Faizal Azumu berkata tindakan Presiden PAS Abdul Hadi Awang untuk menarik balik saman fitnah itu dan menyelesaikan kes di luar mahkamah sekali gus menimbulkan persoalan berhubung status dakwaan oleh Sarawak Report terhadap parti itu sebelum ini.

“Selepas membaca laporan mengenai tindakan presiden PAS menarik balik saman fitnah itu hari ini membuatkan saya tertanya-tanya adakah benar beliau menerima dana itu seperti yang didakwa oleh Sarawak Report?” Soalnya kepada media di Chemor, Perak, hari ini.

Terdahulu, Ahmad Faizal yang juga anggota parlimen Tambun diiringi isteri Dr Nomee Ashikin Mohamed Radzi mengedarkan limau mandarin dan ang pow kepada penduduk di kawasan Chemor sempena sambutan perayaan Tahun Baru Cina di sekitar Pasar Awam Chemor.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tindakan Abdul Hadi menarik balik saman fitnah terhadap editor Sarawak Report itu dan menyelesaikan kes di luar mahkamah.

Bagaimanapun, Ahmad Faizal berkata, terserah kepada rakyat untuk menilai sendiri apakah yang berlaku kepada PAS dalam kes tersebut.

“Ramai orang yang saya jumpa di sini juga bertanyakan soalan yang sama, jadi kita biar rakyat menilai sendiri,” katanya.

Hadi tarik balik tuntutan

Pada 2017, Abdul Hadi memfailkan saman terhadap Brown susulan laporan Sarawak Report pada 6 Ogos 2016 yang mendakwa beberapa pemimpin PAS menerima dana RM90 juta sebagai usaha menarik sokongan parti itu menyokong BN dan Umno.

Berdasarkan kenyataan media setiausaha politik presiden PAS semalam, penyelesaian luar mahkamah itu termasuklah penarikan balik tuntutan Abdul Hadi terhadap Clare. Begitu juga tuntuan balas Clare terhadap Abdul Hadi.

Beliau dilaporkan sebagai berkata keputusan itu dibuat supaya tidak membebankan ahli-ahli PAS.

Berdasarkan persetujuan penyelesaian itu juga, artikel yang disiarkan laman Sarawak Report yang menjadi pertikaian itu kekal dan tidak ditarik balik.

Media sebelum ini melaporkan pada 3 Januari lalu, PAS merayu pertolongan umum untuk bantuan dana berjumlah RM400,000 bagi menyelesaikan kos guaman saman fitnah berkenaan.

Malaysiakini pada 9 Januari lalu melaporkan Bendahari PAS Pusat, Razman Zakaria memaklumkan PAS bukan sahaja berjaya mengumpul jumlah itu, malah mencecah RM500,000.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");