Perak Hari Ini

MB Perak Seru Wujudkan Projek Rumah Mampu Milik Di Kawasan Tumpuan Umum

LUMUT: Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu menyeru agar semua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dapat menempatkan tapak projek rumah mampu milik, Rumah PerakKu di kawasan tumpuan umum.

Mengambil contoh inisiatif yang akan dijalankan Majlis Perbandaran Manjung (MPM), beliau berkata projek tersebut seharusnya dibangunkan bukan di kawasan yang terpencil selain menyeru PBT lain untuk mencari lokasi projek berkenaan yang terletak di kawasan strategik.

Jelasnya, dengan usaha itu, ia dapat memberi nilai tambah kepada penghuni rumah dalam kategori tersebut.

“Kita berharap dapat ditempatkan rumah-rumah tersebut di kawasan bandar, supaya mereka dalam golongan B40 ini berkesempatan untuk tinggal di bandar.

“Selain berada dalam keadaan yang kondusif, rumah selesa, mereka juga berpeluang untuk berada di kawasan yang ‘prime’,” katanya.

Ahmad Faizal turut menyebut harga rumah tersebut tidak berubah dengan harga rumah mampu milik yang terletak di kawasan pinggir.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Kunci Rumah Perakku Taman Wazir Batu 10 Lekir dan Penyerahan Surat Tawaran RPT Sungai Tiram di Sekolah Agama Islahiah Addiniah, di sini, hari ini.

Hadir sama, isteri Menteri Besar, Datin Seri Dr Nomee Ashikin Mohammed Radzi; Ahli Parlimen Lumut, Datuk Dr Mohd Hatta Ramli; Yang Dipertua Majlis Perbandaran Manjung, Datuk Mohamad Fariz Mohamad Hanip serta Exco Perumahan negeri, Yong Choo Kiong.

Ketika berucap pada majlis, Ahmad Faizal berkata, cadangan tersebut diutarakan kepadanya semasa berada dalam taklimat pembangunan daerah Manjung semalam.

Ujarnya, beliau menyambut baik inisiatif Pejabat Daerah dan Tanah Manjung itu yang tidak mahu golongan B40 berasa terasing daripada golongan lain.

Sementara itu, katanya lagi, sehingga kini sebanyak 440 unit rumah kos rendah dan 910 buah rumah kos sederhana untuk fasa awal projek Rumah PerakKu di seluruh negeri sedang giat dibina.

Jelasnya, kerajaan negeri ketika ini telah menerima lebih 11,000 permohonan bagi rumah kos rumah kos rendah dan 943 permohonan bagi rumah kos sederhana.

Projek Rumah PerakKu Taman Wazir di sini mempunyai 50 unit rumah yang berjaya disiapkan dalam tempoh 97 hari, merupakan projek lanjutan My Beautiful New Home yang tergendala oleh kerajaan terdahulu.

Kesemua rumah bersaiz 758 kaki persegi, itu dilengkai dengan ruang tamu, ruang makan, dapur, tiga bilik tidur, masing-masing sebuah bilik air dan tandas ini.

Harga seunit rumah yang dianggarkan dengan nilai tanah dianggarkan mencecah RM160,000, namun pembeli dapat memilikinya pada kadar harga cuma RM20,000 saja dengan hanya membayar RM70 sebulan manakala tempoh pinjaman adalah sehingga 35 tahun.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");