Jenayah

Mohd Hafarizam Tak Mengaku Terima Wang Haram RM15 juta Dari Najib

KUALA LUMPUR – Peguam yang juga Penasihat Undang-undang UMNO, Datuk Mohd Hafarizam Harun didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas dua pertuduhan melibatkan diri dalam pengubahan wang haram dengan menerima wang berjumlah RM15 juta daripada Datuk Seri Najib Tun Razak yang dimasukkan ke dalam akaun firma guaman peguam itu.

Memetik laporan Bernama, Mohd Hafarizam, 47, yang banyak mewakili Najib dalam kes saman sivil bekas Perdana Menteri itu, mengaku tidak bersalah selepas kedua-dua pertuduhan ke atasnya dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Azman Ahmad.

Mengikut pertuduhan pertama, Mohd Hafarizam, didakwa melibatkan diri secara langsung dalam dua transaksi yang melibatkan hasil daripada aktiviti haram, iaitu dengan menyebabkan hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM11,500,000.00 melalui dua keping cek AmIslamic Bank Berhad milik Najib dimasukkan ke dalam akaun firma guaman Tetuan Hafarizam Wan & Aisha Mubarak (HWAM) di CIMB Bank Berhad.

Dia dituduh melakukan perbuatan itu di CIMB Bank Cawangan PWTC, Suite 1, Level 5, Menara Dato’ Onn, Jalan Tun Ismail, di sini antara 16 April 2014 dan 4 Nov 2014.

Bagi pertuduhan kedua, Mohd Hafarizam didakwa melakukan kesalahan sama berjumlah RM3,500,00.00 melalui sekeping cek AmIslamic Bank Berhad milik Najib, yang dimasukkan ke dalam akaun firma guaman sama di CIMB Bank Berhad di tempat sama pada 12 Feb 2015.

Kedua-dua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta sama.

Pertuduhan itu memperuntukkan hukuman penjara penjara maksimum 15 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau peralatan kesalahan itu pada masa kesalahan itu dilakukan atau RM5 juta, yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");