Perak Hari Ini

‘Mr Franklin’ Saji Makanan Barat Dengan Resipi Tersendiri

IPOH: Buat warga Ipoh sudah pasti biasa melihat ataupun melintasi kawasan yang mempunyai deretan lebih daripada 10 trak makanan ataupun food truck yang berdekatan dengan Stesen Mintak Petronas Jalan Raja Dihilir.

Kru PerakToday berkesempatan singgah ke situ dan sebuah trak makanan yang tertera perkataan ‘Mr Franklin’ berjaya mencuri tumpuan kami.

Sesuai dengan namanya, trak makanan itu menyajikan tujuh aneka menu sajian makanan Barat.

Pemiliknya Muhammad Aisar Fadhli Ramlan, 25 berkata antara menu yang sering menjadi pilihan utama pelanggannya ialah smoky grilled chicken, smoky grilled lamb, serta pasta.

Keistimewaan masakannya pula ialah kesemua rencah dan resipi adalah hasil olahannya tersendiri.

Bekas pelajar Diploma Seni Kulinari UiTM Pulau Pinang itu berkata, walaupun sudah lama meninggalkan alam pengajian, dirinya tidak lokek untuk sentiasa mempelajari dan berusaha menghasilkan menu yang terbaik.

“Resipi ini saya banyak buat ‘research’ dan kita pun cuba ingat balik apa yang kita belajar dahulu.

“Masakan ini sebenarnya mudah, cuma kita kena bijak guna daya kreatif untuk olah semula resipi supaya ia kena dengan cita rasa orang kita,”

“Saya pun kadang-kadang suka ‘explore’ kedai-kedai lain dan dari situ pun saya akan belajar,” katanya ketika ditemui PerakToday.

 

Anak Jati Parit
Anak kedua daripada enam adik-beradik ini tidak pernah berasa sukar walaupun terpaksa berluang-alik daripada Kampung Raja, Parit dengan Ipoh, demi mencari rezeki.

Katanya, beliau sudah lali dengan perkara tersebut selain tidak menafikan bahawa dunia masakan sudah menjadi minatnya semenjak menamat alam persekolahannya dahulu.

Aisar juga tidak menafikan kemungkinan darah neneknya yang juga minat dalam bidang perusahaan makanan telah mengalir dalam dirinya sejak awal.

Bercerita tentang perniagaannya bersama ‘Mr Franklin’, katanya pada awal, beliau tidak pernah merancang untuk membuka sebuah perniagaan trak makanan.

“Projek ini adalah usaha stesen minyak Petronas di sini sendiri yang mana kita menyewa sahaja. Dan ada juga dibuka untuk sewa beli tapak.

“Kita bayar sewa, mereka sediakan tapak berserta trak makanan yang lengkap dengan beberapa peralatan asas dan termasuk meja dan kerusi pelanggan. Trak makanan saya sudah siap begini.

“Saya pada awal hanya datang ke sini, bersama bekas majikan saya untuk menjamu selera. Namun kebetulan pengurus stesen minyak ini ada di sini. Bekas majikan saya kemudian terus mencarikan trak untuk saya berniaga,” katanya.

Tambahnya, perniagaan yang baru sahaja menjangkau tempoh sebulan itu banyak dibantu oleh bekas majikannya yang kini menjadi rakan kongsi perniagaannya.

Selain rakan kongsi, Aisar berkata perniagaannya juga turut disokong oleh ahli keluarganya sendiri.

Malah katanya, ahli keluarga daripada Parit sanggup datang ke Ipoh semata-mata mahu merasai juadah yang disediakan tukang masak yang berpengalaman hampir lima tahun itu.

 

Respons Yang Baik
Pengalaman yang sebelum ini pernah bekerja di sebuah restoran di Ipoh Garden sentiasa dijadikan batu asas untuk Aisar terus meraih semangat meneruskan perniagaan ketika dalam usia muda.

Aisar tidak menafikan pada peringkat awal beliau berasakan dunia perusahaan makanan khususnya di Ipoh ini mempunyai cabaran tersendiri.

Namun ujarnya, respons yang baik daripada para pelanggan yang diterima sering dijadikan pembakar semangat buat dirinya.

“Pelanggan saya tidak tetap kepada golongan muda sahaja, malah golongan yang lebih dewasa juga gemar singgah ke trak makanan saya.

“Baru-baru ini, sewaktu musim cuti Tahun Baru Cina, saya ada menerima pelanggan daripada Johor Bahru. Respons mereka baik,” katanya.

 

Perancangan Masa Hadapan
Pada masa hadapan, Aisar merancang untuk memperbaharui menu-menu dalam tempoh masa tertentu, sebagaimana yang dilakukan di restoran tempat beliau pernah bekerja dahulu.

Beliau juga sedang merancang untuk memperbanyakkan lagi makanan baharu dalam senarai menunya.

 

Info Tambahan:
Waktu Operasi: 5 Petang sehingga 12 tengah malam, setiap hari
Maklumat lanjut boleh hubungi, Aisar di talian 0134893919 atau Rakan Kongsi, Tan Bee Sun di talian 0165619523.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");