Jenayah

Muka Dikelar, Angkara Bekas Kekasih

PETALING JAYA: “Gambar wanita tular dengan kesan luka teruk di bahagian atas bibir itu memang saya, tapi saya tidak tahu macam mana ia boleh tersebar.”

Begitu kata seorang wanita berusia 24 tahun yang parah akibat dikelar di bahagian muka dipercayai oleh bekas teman lelakinya di depan lif di sebuah pusat beli-belah di Damansara Jaya di sini, Khamis lalu.

Dalam kejadian kira-kira 6.30 petang itu, bahagian muka mangsa ‘koyak’ sepanjang lebih lima sentimeter bermula dari bibir hingga ke pipi kanan selepas dikelar lelaki warga Bangladesh berkenaan dipercayai dengan objek tajam.

Kejadian menimpa mangsa tular apabila gambarnya menerima rawatan dimuat naik di media sosial sejak petang kelmarin.

Mangsa yang enggan dikenali ketika dihubungi Harian Metro berkata, kejadian berlaku ketika dia pergi ke pusat beli-belah terkemuka berkenaan seorang diri.

“Kejadian berlaku terlalu pantas dan lelaki berkenaan secara tiba-tiba mengelar muka saya.

“Lelaki mengelar muka saya itu bukan berbangsa India seperti yang ditularkan, sebaliknya warga Bangladesh,” katanya, lapor Harian Metro.

Menurutnya, susulan kejadian dia dikejarkan Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), di sini, untuk rawatan dan menerima beberapa jahitan di bahagian bibir dan pipi.

Bagaimanapun, mangsa enggan memaklumkan jumlah jahitan yang diterima akibat kecederaan dialaminya.

“Saya sudah dibenarkan keluar dari wad PPUM pada Jumaat lalu dan kes juga sudah dilaporkan kepada pihak polis.

“Bagaimanapun, saya tidak dapat menceritakan secara lanjut kerana kes masih dalam siasatan polis dan saya serahkan kepada pihak polis untuk siasatan lanjut,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Mohd Zani Che Din ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan polis berhubung kejadian kelar yang berlaku di lokasi berkenaan.

Katanya, susulan kejadian pihaknya menahan suspek lelaki berusia 20-an terbabit untuk membantu siasatan pada Jumaat lalu.

“Siasatan awal mendapati suspek terbabit adalah bekas teman lelaki mangsa dan siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti punca lelaki berkenaan bertindak menoreh muka wanita itu.

“Suspek direman tujuh hari sehingga Jumaat ini untuk siasatan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan parah menggunakan senjata,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");