Jenayah
Like

Najib Didakwa Semula Tuduhan Kes Pengubahan Wang Haram RM47 Juta

February 8, 2019
582 Views
0 Comments
4 minutes read
Najib Didakwa Semula Tuduhan Kes Pengubahan Wang Haram RM47 Juta

KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini didakwa semula di Mahkamah Sesyen di sini atas tiga pertuduhan melibatkan diri dalam pengubahan wang haram berjumlah RM47 juta, lima tahun lepas.

Memetik laporan Bernama, Najib, 66, didakwa semula tidak sampai 24 jam selepas Mahkamah Tinggi di sini, melepas tanpa membebaskannya daripada tiga tuduhan tersebut, semalam.

Anggota Parlimen Pekan itu yang bersut biru, mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan ke atasnya dibacakan di hadapan Hakim Azman Ahmad.

Mengikut ketiga-tiga pertuduhan berkenaan, Najib didakwa melibatkan diri dalam pengubahan wang haram dengan menerima wang keseluruhannya RM47 juta, yang merupakan hasil daripada aktiviti haram dalam tiga akaun AmPrivate Banking miliknya.

Najib dituduh melakukan kesemua kesalahan itu di AmIslamic Bank Berhad, Bangunan Ambank Group, No. 55, Jalan Raja Chulan pada 8 Julai 2014 mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM5 juta atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Manoj Kurup mencadangkan Najib diikat jamin dengan “jaminan mulut” tanpa penjamin.

“Prosiding pendakwaan pada 28 Jan lepas tidak dikenakan jaminan kerana ia adalah pertuduhan tambahan kepada tuduhan sedia ada di Mahkamah Tinggi, namun pertuduhan hari ini belum lagi dibawa ke Mahkamah Tinggi.

“Kami mengambil kira yang tertuduh berdepan banyak pertuduhan sebelum ini dan diikat jamin kira-kira RM6 juta dan pasport diserahkan pada mahkamah, justeru kami bersetuju untuk mencadangkan ‘jaminan mulut’, ke atas tertuduh bagi kes ini,” katanya.

Peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, yang mewakili Najib berterima kasih kepada pihak pendakwaan yang mencadangkan jaminan tersebut yang disifatkan satu cadangan adil.

Mahkamah membenarkan Najib diikat jamin dengan bon peribadi tanpa dikenakan cagaran bagi ketiga-tiga pertuduhan itu.

Terdahulu, Muhammad Shafee memberitahu mahkamah bahawa ketiga-tiga pertuduhan yang dihadapi Najib hari ini adalah pertuduhan serupa yang dihadapinya di Mahkamah Tinggi pada 28 Jan lepas, bagaimanapun Najib dilepas tanpa dibebaskan daripada tuduhan itu oleh Mahkamah Tinggi semalam berikutan terdapat kesilapan membawa kes itu terus ke Mahkamah Tinggi sebelum ke Mahkamah Sesyen.

“Pertuduhan ini secara substantifnya sama dengan pertuduhan yang dibawa pendakwaan terus ke Mahkamah Tinggi (pada 28 Jan) dan semalam, Peguam Negara mengatakan beliau menarik balik tuduhan itu kerana terdapat kesilapan asas dengan membawa kes itu ke Mahkamah Tinggi sebelum ke mahkamah lebih rendah,” katanya.

Peguam itu berkata pihaknya juga akan mengemukakan bantahan terhadap ketiga-tiga pertuduhan itu berikutan terdapat beberapa kecacatan ketara pada pertuduhan-pertuduhan tersebut.

Mahkamah menetapkan 8 Mac untuk sebutan semula kes.

Pada 28 Jan, Najib, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi terhadap tiga pertuduhan itu dan semalam mahkamah sama melepas tanpa membebaskannya daripada ketiga-tiga tuduhan itu selepas membenarkan permohonan pendakwaan yang diketuai Peguam Negara TommyThomas untuk melepas tanpa membebaskan Najib.

Thomas memaklumkan mahkamah pihaknya akan mendakwa Najib atas pertuduhan berkenaan di Mahkamah Sesyen.

Kes pengubahan wang haram bermula di Mahkamah Sesyen dan pihak pendakwaan sepatutnya menyebut kes itu di Mahkamah Sesyen sebelum memindahkan ke Mahkamah Tinggi. Bagaimanapun, pada 28 Jan, pihak pendakwaan telah mendakwa Najib terus di Mahkamah Tinggi.

Komen & Pendapat

Comments are closed.