Sukan Hari Ini

Nantes Beri Penghormatan Terakhir Kepada Sala

NANTES, Perancis: Bekas kelab yang diwakili mendiang Emiliano Sala, Nantes memberikan penghormatan terakhir kepada penyerang Argentina itu dalam aksi Ligue 1 bertemu Nimes.

Perlawanan pagi tadi adalah yang pertama selepas kematian Sala disahkan menerusi penemuan mayat bersama rangka pesawat di dasar laut, Khamis lalu dengan penghormatan diberikan dalam pelbagai bentuk.

Dikenali sebagai Canaries kerana jersi berwarna kuning, Nantes memilih set jersi hitam kali ini dengan tertera nama Sala di belakang setiap jersi.

Malah, pemain Nimes sendiri masuk ke padang dengan menuju ke tempat duduk Nantes dan meletakkan bunga di depan kain rentang yang didekasikan kepada Sala yang tertulis ‘Emi Forever’.

Sejumlah 37,000 penyokong turut bertafakur selama seminit apabila potret raksasa yang memaparkan gambar Sala dibawa masuk ke kawasan sepak mula disusuli tepukan gemuruh oleh penyokong.

Pengendali Nantes, Vahid Halilhodzic yang pernah menyarung jersi nombor 9 kelab itu, berkata dia amat terkesan dengan kematian Sala yang disifatkannya sebagai ‘insan yang penyayang’.

“Dia meninggalkan kesan mendalam kepada kelab ini, ia (kematiannya) amat mengejutkan kami,” katanya.

Pengendali dari Bosnia itu yang pernah mengemudi Lille dan PSG, dan yang terbaru membimbing Algeria dan Jepun, berkata sukar buat pasukannya menerima kenyataan itu.

“Jelas sekali ia satu mimpi ngeri untuk kami,” katanya selepas melihat Nantes tewas 4-2 kepada Nimes meskipun pada satu ketikanya mendahului aksi 2-0.

“Tetapi tidak sesekali kami mahu melepaskan kelebihan itu dan membenarkan lawan menjaringkan empat gol di laman sendiri. Bermula saat ini saya mahu pemain bertarung untuk mengelak penyingkiran.”

“Pemain kelihatan gugup dan ia bukannya sesuatu yang mudah untuk ditangani,” katanya.

Nimes kini melonjak ke tangga ke-10 liga manakala Nantes di kedudukan ke-15 hanya dipisahkan lima mata daripada zon penyingkiran.

Sementara itu, Radamel Falcao menemui gawang tatkala Monaco juara Ligue 2017 sekadar terikat 2-2 dengan Montpellier untuk memanjat ke tangga ketiga tercorot.

Pasukan tangga ketiga, Lyon pula mengalami kekalahan kali pertama sejak Disember apabila tunduk oleh pasukan kendalian Patrick Vieira, Nice 1-0 hasil jaringan Remi Walter. – AFP

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");