Perak Hari Ini

NGO Cadang Adakan Sesi Pendengaran Awam Sebelum Mansuh Status Hutan Simpan

IPOH: Persatuan Aktivis Sahabat Alam (Kuasa) mencadangkan agar Kerajaan Perak dapat mengadakan sesi pendengaran awam sebelum memansuhkan mana-mana status hutan simpan.

Presidennya, Mohamad Hafizudin Mohd Nasarudin berkata, perkara itu telah pun dilakukan di Selangor dan sehingga kini, negeri tersebut merupakan satu-satunya negeri yang mengadakan sesi pendengaran awam berhubung isu sama.

“Kita harap Perak dapat menjadi negeri kedua di mana sewaktu proses pendengaran awam itu diadakan, kita semua dapat mengetahui sebarang maklumat berkaitan secara terperinci.

“Dan kita juga dapat mencapai kata persetujuan untuk sebarang projek pembangunan itu boleh berjalan dengan lancar.

“Sebelum ini, ia tidak terjadi. Banyak maklumat dirahsiakan dan sebagainya. Disebabkan itu banyak konflik yang timbul,” katanya.

Tambahnya, beliau juga mengusulkan kepada kerajaan negeri supaya suatu jawatankuasa khas dapat ditubuhkan yang mana ia akan melibatkan agensi teknikal, badan-badan bukan kerajaan (NGO) dan komuniti.

Menurutnya, sebelum ini pihak NGO dan komuniti kurang dilibatkan kerajaan negeri khususnya bagi membincangkan soal pembangunan di negeri ini.

Selain itu, kata Hafizudin, bagi menangani isu pencerobohan hutan secara haram, beliau berharap agar kerajaan negeri dapat mengiktiraf NGO sebagai pihak pemantau ketiga.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu di Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini, hari ini.

Hadir sama Ahli Majlis Sahabat Alam Malaysia (SAM), Mohideen Abdul Kader serta Penyelidik Lapangan SAM, Meor Razak Meor Abdul Rahman.

Dalam pertemuan yang berlangsung lebih sejam itu, Kuasa turut mencadangkan agar kerajaan negeri dapat meneruskan Pelan Pembangunan Ekonomi Hijau yang dikatakan tertangguh semenjak tahun 2007.

Dalam pada itu, Pengarah Perhutanan negeri, Datuk Mohamed Zin Yusop yang ditemui berkata agensi kerajaan negeri akan menjalinkan kerjasama dengan NGO terbabit dalam meneruskan usaha memelihara hutan.

Katanya sebanyak 14 isu yang diutarakan kepada Menteri Besar oleh Kuasa dan SAM.

Menurutnya lagi, ia merupakan perjumpaan kali pertama dan tidak menolak kemungkinan akan ada beberapa siri pertemuan lain pada masa hadapan.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");