Membawang Hari Ini

Ogy Bikin Program Realiti Sendiri

PELAKON versatil, Fauziah Ahmad Daud bakal muncul dengan program realiti sendiri iaitu Spotlight yang memulakan siarannya pada 23 Februari ini.

Memetik laporan Harian Metro, Fauziah, 57, atau lebih mesra disapa Ogy berkata, program itu memberi peluang kepada sesiapa saja yang berbakat tanpa sebarang diskriminasi dari segi rupa dan penampilan.

“Saya nak mencari bakat terpendam dalam apa jua bidang. Tidak semestinya dalam lakonan, nyanyian dan pengacaraan saja. Ia juga terbuka kepada semua tanpa had umur.

“Paling penting, saya nak memberi ruang dan peluang kepada mereka yang selama ini didiskriminasi atas ciri-ciri tertentu seperti tak cantik atau kacak, gemuk, hitam dan banyak lagi. Saya berasakan, setiap dalam diri kita ada bakat masing-masing.

“Berbekalkan pengalaman lebih empat dekad dalam bidang seni, saya nak gilap bakat mereka. Kalau mereka tak ada peluang di tempat lain, Spotlight adalah tempat mereka,” katanya kepada Harian Metro.

Menariknya, program itu adalah projek sulung Ogy menerusi TV Online yang baru ditubuhkannya iaitu Ogytv.com.

Ogy berkata, peserta yang ingin menyertai program itu perlu menjalani bengkel latihan pada Sabtu ini dengan kadar bayaran RM100 sebelum melangkah ke sesi uji bakat keesokan harinya.

“Sesi ini bertujuan mendidik mereka dari segi membuat persediaan sebelum pergi uji bakat. Saya tak mahu mereka memalukan diri sendiri sewaktu sesi uji bakat di jalankan. Kasihan pada mereka datang dari jauh, tapi tidak berjaya.

“Saya mengenakan bayaran sebab mahu mendidik mereka melabur untuk mendapatkan ilmu. Lagi pula, ketika bengkel ini, terdapat guru berpengalaman dan golongan profesional yang akan mengajar mereka.

“Berapa ramai akan dipilih menyertai program ini bergantung kepada jumlah yang layak pada sesi uji bakat nanti,” katanya.

Ogy yang bertindak selaku pencipta kandungan, penerbit dan pengetua berkata, dia akan terbabit sepenuhnya sepanjang program itu berlangsung.

Program itu menggunakan sistem pemarkahan 70 peratus daripada juri tetap dan 30 peratus lagi hasil undian penonton.

Program yang bakal disiarkan secara langsung itu menampilkan pengacara Ammar Hot FM dan Liya Yasmin.

Sebarang maklumat lanjut boleh melayari Ogytv.com atau terus ke Instagram Ogy iaitu @kak_ogy.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");