Perak Hari Ini

PAFA Sambut Baik Pertimbangan MFL Tunda Perlawanan

IPOH: Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA) menyambut baik pertimbangan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) dalam membenarkan perlawanan antara pasukan Perak dengan Kuala Lumpur untuk aksi Unifi Liga Super 2019 pada esok, ditunda kepada suatu tarikh baharu.

Badan induk itu dalam satu kenyataan berkata, permohonan bagi keputusan tersebut telah dibuat pada pagi Rabu.

Katanya lagi, PAFA juga maklum bahawa MFL perlu melalui proses-proses tertentu termasuk mendapatkan persetujuan bersama pihak Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA) dan kelulusan Ahli Lembaga Pengarah MFL sebelum meluluskan permohonan ini.

“Justeru, PAFA ingin menyatakan permohonan maaf secara terbuka di atas kenyataan awal dari pihak PAFA yang menyatakan MFL telah menolak permohonan itu.

“PAFA juga ingin menjelaskan yang pihak PAFA tidak sama sekali mendakwa MFL tidak melayan permohonan berkenaan, seperti yang dilaporkan dalam tajuk berita beberapa portal berita,” katanya.

Terdahulu, MFL mengumumkan penundaan perlawanan di antara skuad The Bos Gaurus dengan Kuala Lumpur menerusi satu kenyataan pagi tadi.

MFL juga mengesahkan bahawa Perak telah membuat permohonan sedemikian pada 13 Februari 2019.

“Untuk makluman semua, dengan mengutamakan agenda bola sepak negara bermain di peringkat antarabangsa, perlawanan tersebut akan dipinda kepada tarikh yang akan diumumkan kelak.

MFL memberi sokongan penuh dengan semangat kesukanan untuk melihat pasukan Perak berjaya melangkah ke peringkat seterusnya dalam Liga Juara-Juara Asia (ACL) 2019,” katanya.

Skuad The Bos Gaurus pada musim ini mempunyai jadual yang padat ekoran terpaksa beraksi dalam Unifi Liga Super serta pusingan kelayakan ACL 2019.

Selepas menundukkan wakil Hong Kong, Kitchee SC 1-1 menerusi penentuan penalti 6-5 pada Rabu, Perak berjaya mara ke pusingan ketiga dalam kejohanan antarabangsa itu dan akan bertandang ke Korea Selatan bagi bertemu pasukan Ulsan Hyundai 19 Februari ini.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");