Berita Hari Ini

Pakistan Puji Kepemimpinan Dr Mahathir

KUALA LUMPUR: Ramai rakyat Pakistan menjadikan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai idola mereka dan memuji kepemimpinannya, menurut seorang wartawan dari Pakistan.

Javaid Ur Rehman, koresponden untuk saluran televisyen berita Pakistan’s 92 News di sini, berkata adalah tidak mengejutkan apabila Perdana Menteri Pakistan, Imran Khan mengundang Dr Mahathir untuk mengadakan lawatan rasmi ke negara itu bagi menghadiri sambutan Hari Kebangsaan Pakistan pada 23 Mac sebagai tetamu utama.

Imran Khan, lagenda sukan kriket Pakistan dalam kunjungan rasmi pertamanya ke Malaysia pada November lalu selepas menjadi Perdana Menteri ke-22 pada Julai 2018, berkata beliau memandang Dr Mahathir sebagai sumber inspirasi untuknya melaksanakan transformasi di Pakistan.

Javaid yang tinggal di Malaysia selama hampir 10 tahun berkata: “Tun Dr Mahathir ialah antara pemimpin yang sangat terkenal di Pakistan dan kami memandang tinggi pencapaian Malaysia sebagai Harimau (Ekonomi) Asia. Kami mengharapkan yang berbaik.”

Katanya hubungan erat di antara Pakistan dan Malaysia melonjak ke paras lebih tinggi sempena lawatan Imran Khan itu.

“Ia satu lawatan yang telah lama ditunggu-tunggu oleh rakyat Pakistan untuk memastikan hubungan baik dan perpaduan antara dua negara Islam ini akan berterusan,” katanya.

Javaid berkata, Malaysia sering menjadi fokus utama warganegara Pakistan, sama ada untuk datang bekerja atau melancong kerana mereka tertarik dengan keindahan alam semula jadi dan mengagumi keharmonian rakyat negara ini yang berbilang kaum dan agama.

Wartawan itu berkata, sepanjang tinggal di negara ini, beliau telah menulis kira-kira 90 hingga 100 artikel untuk disiarkan di Pakistan.

Katanya, ada banyak perkara yang boleh ditulis mengenai Malaysia kerana negara ini adalah antara hab terpenting di Asia Tenggara dan dalam kalangan negara Harimau Asia dari segi ekonomi.

Beliau berkata, Malaysia kerap menganjurkan acara bertaraf antarabangsa seperti Pameran Maritim dan Udara Antarabangsa Langkawi (LIMA), Persidangan dan Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) dan pelbagai acara sukan di peringkat antarabangsa.

“Di samping itu, acara kebudayaan tahunan juga menjadi fokus utama untuk memperagakan bagaimana rakyat Malaysia dapat hidup bersama dalam sebuah masyarakat majmuk yang berbilang kaum dan ini boleh dijadikan contoh oleh rakyat Pakistan,” katanya.

Javaid mencadangkan agar program pertukaran pelajar dan kebudayaan diadakan untuk mengukuhkan lagi hubungan antara kedua-dua negara, berkongsi pengalaman dan saling mempelajari budaya antara satu sama lain.

“Saya mengajak rakyat Malaysia melawat Pakistan supaya dapat menikmati keindahan kebudayaan dan keramahan penduduknya, makanan dan pemandangan alam semula jadi, selain dapat mempereratkan lagi hubungan antara kedua-dua negara yang indah ini,” katanya.

Pakistan adalah rakan dagangan ketiga terbesar Malaysia dalam kalangan negara di Asia Tenggara. Pada 2017, jumlah dagangan di antara Malaysia dan Pakistan adalah sebanyak RM5.76 bilion, iaitu pertambahan sebanyak 3.5 peratus berbanding 2016. – BERNAMA

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");