Sukan Hari Ini

Pegawai, Pengadil MHL Ancam Boikot Liga

KUALA LUMPUR: Barisan pegawai teknikal dan pengadil Liga Hoki Malaysia (MHL) dijangka memboikot liga nombor satu negara itu sekiranya permintaan mereka untuk mendapatkan kenaikan kadar bayaran elaun ditolak oleh Konfederasi Hoki Malaysia (MHC).

Ia sebagai tanda tidak berpuas hati dengan tindakan badan induk itu untuk terus menggunakan kadar elaun RM65 bagi pengadil dan RM50 untuk pegawai teknikal bagi satu-satu perlawanan yang dianggap rendah dan tidak masuk akal.

Bagaimanapun, ia bergantung sepenuhnya terhadap hasil jawapan yang diperolehi daripada Mesyuarat Lembaga Eksekutif yang dikatakan akan bersidang dalam masa terdekat.

Menurut sumber, pendirian tegas itu sedia diambil barisan pegawai teknikal dan pengadil MHL selepas sekian lama kecewa dengan situasi berkenaan.

“Katanya kertas kerja diserahkan oleh jawatankuasa pengadil sudah diluluskan tetapi masih menunggu kelulusan akhir daripada mesyuarat Lembaga Eksekutif MHC,” kata sumber berkenaan.

“Andai kata tiada pembaharuan dicapai daripada keputusan itu nanti, kemungkinan besar mereka akan memboikot (work off) daripada MHL ini.

“Sekarang ini mereka hanya menunggu masa saja, kalau kadar bayaran elaun perlawanan tidak dinaikkan, memang mereka akan chow (belah).

“Semua memang sudah bersatu hati untuk melakukannya.”

Isu ini bukannya baharu selepas pernah dibangkitkan BH Sukan pada Januari 2016 dengan ketika itu MHC berjanji sedia mengkaji semula kadar bayaran elaun.

Namun, dipercayai hanya elaun penginapan saja dinaikkan daripada RM80 kepada RM120, manakala elaun perlawanan bagi pengadil kekal pada RM65 sambil MHC turut mengeluarkan kadar pembayaran baharu bagi elaun perjalanan yang bergantung kepada lokasi venue berbanding sebelum ini 60 sen untuk setiap 1 kilometer.

Pengerusi Lembaga Pengadil MHC Amarjit Singh menegaskan, jika benar terdapat usaha untuk memboikot perlawanan ia seharusnya dilupakan kerana pihaknya mendapat maklum balas positif daripada kertas kerja yang diserahkan kepada Presiden MHC, Datuk Seri Subahan Kamal.

“Presiden amat positif dan beliau tahu mengenai kertas kerja berkenaan, cumanya apa jua isu membabitkan kewangan perlu mendapat kelulusan akhir daripada lembaga eksekutif MHC,” kata Amarjit.

“Dan saya sama sekali tidak bersetuju jika mereka mahu memboikot, memang saya ada dengar ura-ura ini tetapi sehingga kini masih belum ada pegawai yang datang cakap enggan meniup bagi perlawanan.”-BH

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");