Berita Hari Ini

Peguam Mahu Kes Isa Samad Dipindahkan Ke Mahkamah Tinggi

Pasukan pembelaan yang mewakili bekas Pengerusi Felda Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad, yang didakwa atas satu pertuduhan pecah amanah dan sembilan pertuduhan menerima rasuah berjumlah lebih RM3 juta, akan menfailkan permohonan untuk memindahkan kes itu ke Mahkamah Tinggi.

Peguam Datuk K Kumaraendran berkata pihaknya akan menfailkan permohonan untuk memindahkan kes itu dari Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi selewat-lewatnya 20 Mac ini.

Perkara itu dimaklumkan peguam itu pada sebutan semula kes untuk penyerahan dokumen kes di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Azura Alwi hari ini.

Bagaimanapun, Kumaraendran berkata pihaknya hanya akan menfailkan permohonan itu setelah memperoleh kesemua dokumen daripada pihak pendakwaan.

Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Umar Saifuddin Jaafar tidak membantah terhadap permohonan peguam itu dan memaklumkan kepada mahkamah bahawa pihak pendakwaan telah menyerahkan baki 32 dokumen berkaitan kes itu kepada pihak pembelaan.

“Setakat ini, kesemua dokumen telah diserahkan kepada pihak pembelaan namun sekiranya terdapat dokumen lain, ia akan diserahkan sebelum 15 Mac,” katanya.

Azura menetapkan 4 April untuk sebutan semula kes bagi mendapatkan perkembangan mengenai pemohonan pemindahan kes itu.

Pada 14 Dis 2018, Mohd Isa mengaku tidak bersalah atas satu pertuduhan pecah amanah dan sembilan pertuduhan menerima rasuah berjumlah lebih RM3 juta bagi meluluskan pembelian sebuah hotel di Kuching, Sarawak, oleh Syarikat Felda Investment Corporation (FIC) Sdn Bhd.

Dia dituduh melakukan kesalahan pecah amanah itu di Tingkat 50, Menara Felda, Platinum Park, No. 11, Persiaran KLCC dekat sini pada 29 April 2014 mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Sementara itu, dia dituduh melakukan kesemua sembilan kesalahan menerima rasuah di Tingkat 49, Menara Felda, Platinum Park, No. 11, Persiaran KLCC dekat sini antara 21 Julai 2014 dan 11 Dis 2015.

Pertuduhan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

– Bernama

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");