Perak Hari Ini

Pencerobohan Bukit Kledang: Kerajaan Negeri Akan Berusaha Pulihkan Kawasan Terjejas

IPOH: Kerajaan negeri berharap agar kawasan yang terjejas akibat pencerobohan tanah secara haram berhampiran dengan Bukit Kledang, dapat dipulihkan semula.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, usaha itu akan memakan sedikit masa selain menyeru agar semua pihak dapat memberi sokongan kepada kerajaan negeri ke arah menghijaukan semula kawasan seluas 10 hektar tersebut.

Katanya lagi, beliau berasa kesal terhadap apa yang berlaku selain turut berharap suatu tindakan tegas akan dapat diambil kepada pelaku supaya ia dapat menjadi pengajaran pada masa hadapan.

“Kita akan bawa isu ini akan ke dalam mesyuarat Jawatankuasa Khas Penyelesaian Setinggan dan Usaha Haram Negeri yang telah kita tubuhkan.

“Kita dapati terlalu ramai pihak yang berani memasuki tanah-tanah secara haram dengan membawa jentera berat dan menggunakan kos yang tinggi.

“Ini mungkin kerana penguatkuasaan yang lemah pada sebelum ini. Maka, pada masa kini, kita akan berusaha untuk lebih kuatkuasakan undang-undang,” katanya.

 

Tambah, Ahmad Faizal, kerajaan negeri masih belum dapat mengenal pasti pihak yang terbabit dengan aktiviti pencerobohan tersebut.

Jelasnya, pihak berkuasa mengesyaki aktiviti haram itu melibatkan beberapa jentera berat namun, hasil tinjauan semalam ke lokasi, kesemua jentera dipercayai telah dialihkan ke kawasan lain.

Dalam pada itu, ujarnya, kerajaan negeri memahami suara rakyat yang mahu kawasan tersebut dikekalkan seperti sedia kala, tanpa sebarang aktiviti pembangunan.

“Memang tanah itu telah diluluskan oleh kerajaan negeri, sekitar tahun 2015, bagi tujuan pembangunan bercampur.

“Namun, bagi pentadbiran sekarang, kita belum buat apa-apa lagi keputusan atau perancangan terhadap kawasan tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui pada Majlis Sambutan Tahun Baru Cina anjuran Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Perak (PCCI) di Hotel Weil, di sini, hari ini.

Hadir sama, isteri Menteri Besar, Datin Seri Dr Nomee Ashikin Mohammed Radzi; Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Nga Kor Ming; Menteri Sumber Manusia, M Kulasegaran; Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye; Presiden PCCCI, Datuk Liew Sew Yee serta barisan Exco kerajaan negeri.

Ketika berucap pada majlis, Ahmad Faizal berharap agar PCCI dan Dewan Perniagaan dan Industri India dapat bekerjasama dengan Dewan Perniagaan Melayu Malaysia Perak, yang dilihat kurang aktif, untuk sama-sama membangunkan ekonomi di negeri ini.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");