Berita Hari Ini

Peniaga hina Yang di-Pertuan Agong Disiasat Mengikut Akta Hasutan 1948

KUANTAN: Seorang peniaga yang didakwa menghina Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, menerusi Facebook ditahan polis untuk siasatan.

Ketua Polis Pahang, Datuk Mohd Zakaria Ahmad, berkata lelaki berusia 45 tahun itu ditahan hari ini di Kuantan dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Temerloh kerana laporan polis dibuat di sana.

“Kertas siasatan dibuka mengikut Akta Hasutan 1948 dan segala dapatan akan diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan susulan.

“Buat masa ini, kita menasihatkan orang ramai tidak bertindak sendiri atau di luar undang-undang dan menghormati Yang di-Pertuan Agong serta Institusi Raja-Raja yang seharusnya dihormati segenap lapisan masyarakat,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Beberapa pengguna media sosial dikesan mengeluarkan kenyataan menghina Al-Sultan Abdullah sempena istiadat melafaz sumpah memegang jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 di Istana Negara, Kuala Lumpur, Khamis lalu sehingga membangkitkan kemarahan orang ramai.

Antara lain, peniaga terbabit didakwa menulis di ruangan komen dengan kenyataan menghina gambar Al-Sultan Abdullah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohamad Noor Yusof Ali, berkata dua lelaki berusia 32 dan 36 tahun ditahan kerana dipercayai mengugut peniaga terbabit di premisnya di sini kira-kira jam 2.30 petang semalam.

“Siasatan awal mendapati dua suspek datang ke kedai lelaki itu pada jam 2.30 petang semalam dan menegur tindakannya memuat naik komen berunsur penghinaan kepada Yang di-Pertuan Agong.

“Suspek kemudian datang semula ke kedai mangsa beberapa jam kemudian dan memaki lelaki terbabit serta mengajaknya bergaduh, kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah,” katanya.-BH

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");