Sukan Hari Ini

Piya Sah Tinggalkan Perlis

KUALA LUMPUR: Bekas kapten Kelantan, Mohd Badhri Radzi mengikut jejak Safee Sali apabila meninggalkan Perlis susulan masalah tunggakan gaji membelenggu skuad Singa Utara.

Mohd Badhri atau Piya mengesahkan semalam adalah latihan terakhir dia bersama skuad kendalian Manzoor Azwira Abd Wahid dan akan menghantar surat pelepasan kepada Persatuan Bolasepak Perlis (PFA).

Malah, perancang tengah berusia 36 tahun itu turut mendedahkan kira-kira lapan pemain juga sebenarnya sudah meninggalkan Perlis untuk mencari pasukan baharu.

Bercakap kepada BH Sukan selepas sesi latihan di padang Universiti Malaysia (UM) semalam, dia juga memberi bayangan akan kembali ke bumi kelahirannya Kelantan.

“Saya memang sudah angkat kaki (tinggalkan Perlis) dan hari ini adalah hari terakhir. Hala tuju seterusnya mungkin bersama Kelantan atau Kelantan United,” katanya.

“Kelmarin saya sudah jumpa Ketua Pegawai Eksekutif Kelantan Red Warriors Sdn Bhd (Fazli Mohammad). Kalau diikutkan saya setuju dengan syarat dia berikan dan kini hanya menunggu jawapan daripada pihaknya pula.

“Sekarang ini pemain (Perlis) semakin lama semakin tiada dan sekarang ini pun tinggal berapa kerat saja. Tujuh hingga lapan pemain sudah keluar dan saya difahamkan ada beberapa pemain lain lagi akan menyusul.”

Perlis sebelum ini dilaporkan berdepan masalah tunggakan gaji dengan pemain skuad itu mendakwa tidak mendapat sebarang bayaran daripada PFA sejak menyertai Singa Utara awal musim ini.

Selain itu, Piya turut berharap Liga Bolasepak Malaysia (MFL) melanjutkan tempoh pendaftaran buat semua pemain Perlis yang sepatutnya berakhir hari ini, bagi memberi ruang kepada mereka mencari pasukan baharu.

“Saya difahamkan permintaan kepada MFL ini dibuat oleh pemain Perlis sendiri. Jadi bagi saya berilah kelonggaran kepada pemain Perlis yang semua tahu berdepan masalah dalam pasukan ketika ini.

“Tapi saya difahamkan MFL juga sedia memberi kelonggaran itu kepada pemain Perlis saja dan pemain pun dilihat tidak tergesa-gesa untuk mencari pasukan baharu,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");