Berita Hari Ini

Polis Buru Individu Hina Agong

KOTA KINABALU: Polis sudah diarah memburu sesiapa saja yang memuat naik kata-kata atau kenyataan menghina Yang di-Pertuan Agong dalam laman sosial tanpa mengira latar belakang mereka.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Mohd Azis Jamman, berkata ia termasuk yang belum dilaporkan kepada polis tetapi dikesan memuat naik kenyataan berunsur penghinaan terhadap Yang di-Pertuan Agong.

“Kalau ada, kita akan buru orang ini, kita akan cari dan saya yakin polis menjalankan tugas mereka untuk memburu orang seumpama ini, kita ada undang-undang.

“Yang di-Pertuan Agong adalah lambang (negara) kita, kalau menghina (baginda), kita tahu cukup jelas dalam undang-undang memang perlu diambil tindakan.

“Kita tidak berkompromi dalam soal ini, tidak kira siapa dia, tanpa mengira politik, bangsa dan warna kulit, undang-undang tetap undang-undang, kita perlu hormati undang-undang,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program Jelajah Skuad `Realisasi Aspirasi Kesejahteraan Komuniti’ anjuran Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) di Kampung Darau, di sini, hari ini.

Mohd Azis mengulas tindakan pihak berkuasa terhadap penyebar kenyataan menghina Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Sultan Ahmad Shah Al-Musta’in Billah, dalam laman sosial Facebook, ketika istiadat pertabalan baginda, Khamis lalu.

Sementara itu, mengulas tindakan orang awam melakukan ugutan terhadap individu yang didakwa membuat kenyataan menghina Agong di Kuantan, kelmarin, beliau berkata tindakan itu hanya mengeruhkan lagi keadaan.

“Negara kita ada undang-undang, jangan membelakangi undang-undang, jangan datang ke sana marah dengan individu itu seolah-olah kita pegang undang-undang. Ini tidak boleh dilakukan, serahkan kepada polis kerana laporan sudah dibuat.

“Kita juga sudah menangkap orang yang mengeluarkan kenyataan menghina Yang di-Pertuan Agong itu dan menyerahkan kepada polis untuk mengambil tindakan selanjutnya. Bukan tugas orang awam membuat ugutan kerana ia hanya mengeruhkan lagi keadaan, malah menyebabkan pergaduhan..kita tidak mahu perkara ini berlaku,” katanya.

Kelmarin, 20 badan bukan kerajaan (NGO) di Kuantan membuat laporan polis terhadap seorang pengguna laman sosial Facebook yang menggunakan nama akaun `Desmond Yongkor’ kerana memuat naik kata-kata menghina Yang di-Pertuan Agong.

Selain pengguna Facebook berkenaan, laporan polis berasingan turut dibuat terhadap seorang lagi pengguna Facebook di Kuantan selepas menulis dalam ruangan komen dengan kenyataan menghina Yang di-Pertuan Agong.-BH

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");