Perak Hari Ini

Polis, Jabatan Hutan Perak Nafi Orang Asli Diugut

Polis dan Jabatan Perhutanan Perak menafikan dakwaan bahawa masyarakat Orang Asli di Kampung Tasik Cunex, Gerik mendirikan sekatan untuk menghalang pembalak masuk ke tanah mereka.

Pemangku Ketua Polis Perak, Razarudin Abd Husain @ Abd Rasid berkata pihak polis mendapati tiada ugutan dibuat setelah melihat laporan yang dibuat oleh Orang Asli dan syarikat pembalakan terbabit.

“Saya cuma nak confirm (sahkan) yang memang ada report (laporan) tu. Tapi bukan ugutan nak bunuh ke atau ugutan nak cedera.

“Dia (pembalak) cakap kalau you tak bagi kita cari option (pilihan) lainlah. Orang Asli ni, cara lain tu dia ingat nak bunuh dialah kot,” kata Razarudin kepada Malaysiakini.

Bagaimanapun, katanya, ‘pilihan lain’ itu bermaksud pembalak akan mencari cara lain untuk mengambil pokok balak yang ditebang.

Terdahulu hari ini dilaporkan Orang Asli dari Kampung Tasik Cunex mendirikan sekatan untuk menghalang pembalak daripada menceroboh tanah asal mereka.

Laporan polis yang dibuat seorang Tok Batin, mendakwa mereka turut diugut oleh syarikat pembalakan dan Jabatan Perhutanan Perak.

Razarudin berkata polis tidak akan menyiasat lagi kes itu selepas mengambil kenyataan daripada pembalak berkenaan.

Bagaimanapun, beliau berkata pihaknya akan memastikan keadaan kekal aman di kawasan itu.

Sementara itu, pengarah Jabatan Perhutanan Perak, Mohamed Zin Yusop turut menafikan bahawa Orang Asli tersebut diugut.

Beliau berkata pegawai jabatan itu hanya bertemu masyarakat Orang Asli tersebut untuk memberi penerangan mengenai aktiviti pembalakan di kawasan berdekatan.

“Pihak Jabatan Perhutanan Negeri menafikan sekeras-kerasnya dakwaan berlaku sebarang unsur ugutan ke atas komuniti Orang Asli Kampung Cunex sepanjang berlangsungnya sesi penerangan berkenaan.

“Sepanjang berurusan dengan bantahan oleh komuniti Orang Asli di Perak, Jabatan Perhutanan Negeri tidak pernah menggunakan sebarang ugutan atau kekerasan ke atas mana-mana pihak,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Bagaimanapun, beliau berkata jabatan itu bersedia untuk bekerjasama susulan laporan polis yang dibuat oleh wakil masyarakat Orang Asli terbabit.

Selain itu katanya, kawasan pembalakan yang diluluskan adalah kawasan Hutan Simpan Air Chepam dan bukan terletak dalam kawasan tanah adat seperti yang didakwa.

Beliau juga mendakwa aktiviti itu mengikut prosedur “pembalakan terpilih”, di mana hanya pokok-pokok yang telah ditandakan boleh ditebang.

Katanya, aktiviti itu juga mematuhi Catuan Tebangan Tahunan (CTT) yang ditetapkan oleh Majlis Tanah Negara iaitu seluas 7744 ha setahun

“Justeru, dakwaan Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam Malaysia (PEKA) kononnya aktiviti pembalakan di Negeri Perak tidak terkawal adalah tidak berasas sama sekali,” katanya.

Bulan lepas, kerajaan Pakatan Harapan (PH) mengumumkan sedang memulakan proses undang-undang bagi pihak Orang Asli Gua Musang terhadap kerajaan negeri Kelantan.

Antara lain, Peguam Negara Tommy Thomas berkata kerajaan Kelantan dan agensinya telah memberikan hak pembalakan di Gua Musang kepada syarikat swasta tanpa berunding dengan komuniti Orang Asli Temiar atau menawarkan pampasan kepada mereka.

Thomas berkata kerajaan persekutuan memutuskan untuk menyaman kerajaan Kelantan kerana tidak menghormati Perlembagaan Persekutuan dan menjadi tanggung jawab kerajaan dari segi undang-undang untuk melindungi kesejahteraan masyarakat Orang Asli.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");