Panasnya Hari Ini

PRK Semenyih: Giliran PPBM Bukti PH Masih Dapat Sokongan

PETALING JAYA: Masih belum sembuh daripada luka kekalahannya di Cameron Highlands bulan lepas, Pakatan Harapan (PH) kini bersiap sedia untuk mennghadapi pilihan raya kecil (PRK) Semenyih yang disifatkan oleh pemerhati sebagai kayu ukur lebih realistik bagi sokongan yang diterima gabungan itu sejak mengambil alih kuasa 10 bulan lepas.

PRK kali ini akan lebih mendapat perhatian kerana ia melibatkan calon daripada PPBM, sebuah parti yang dilihat mewakili orang Melayu yang merupakan 70% pengundi di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih.

Seperti di Cameron Highlands, PAS memilih untuk tidak bertanding dalam PRK kali ini, yang diadakan berikutan kematian penyandangnya, Bakhtiar Mohd Nor yang mewakili PPBM-PH.

Dalam pilihan raya umum 9 Mei lepas, Bakhtiar menang di kerusi itu dengan mendapat 23,428 undi dalam persaingan 4 penjuru mengalahkan calon Barisan Nasional (BN), PAS dan PSM.

BN memperoleh 14,464 undi, sementara PAS (6,966).

Sekiranya corak pengundian di Cameron Highlands berulang, hampir 7,000 undi PAS akan beralih kepada Umno. Ini bermakna pembangkang hanya memerlukan sedikit lonjakan undi untuk merampas kerusi tersebut daripada PH.

Pakar strategi PPBM, Datuk Rais Hussin mengakui PRK dijadualkan 2 Mac itu mencabar.

PPBM berhadapan tekanan bagi menghalang kekalahan kedua berturut-turut gabungan kerajaan itu dalam PRK.

“Mencabar (untuk menang), tetapi tidak mustahil,” katanya kepada FMT.

“Naratif pengundi Melayu agak rumit dan kesan limpahan dari Cameron Highlands mungkin ada.”

Beliau berkata, kemenangan PH bergantung pada kemampunannya memilih “calon yang sesuai” dan menangani “isu yang tepat”.

Antara cabaran yang perlu dijelaskan berkait isu janji PH dalam manifesto pilihan raya umumnya, yang sehingga kini banyak tidak ditunaikan.

Pensyarah Universiti Utara Malaysia, Kamarul Zaman Yusoff berkata, selepas kalah di Cameron Highlands, PH sepatutnya sedar bahawa sesetengah isu, seperti skandal 1MDB, tidak mempunyai kesan besar ke atas pengundi.

Pada masa sama katanya, faktor bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak, yang dianggap menyumbang kepada kemenangan BN di Cameron Highlands, tidak wujud di Selangor.

“Saya tidak fikir kehadiran Najib di Semenyih akan menjadi faktor besar seperti di Cameron Highlands kerana Pahang merupakan kubu beliau. Di Selangor, sentimennya berbeza.”

Bagaimanapun kata Kamarul, isu nasional yang kerap di bangkitkan Najib sangat penting, dan kaedah penyampaian beliau juga berkesan.

“Ini boleh membantu calon BN, terutamanya apabila pemimpin kerajaan tidak melihatnya secara serius dan terus menyerang beliau dengan isu 1MDB. Rakyat kini lebih berminat untuk tahu apakah yang boleh PH lakukan mengenai kehidupan harian mereka,” katanya.

Kamarul berkata, PPBM akan menghadapi kesukaran bukan sahaja kerana sokongan pengundi Melayu dikatakan merosot, tetapi juga disebabkan sikap tidak peduli pengundi bukan-Melayu, yang memainkan peranan utama dalam memenangkan PH tahun lepas.

“Perlu disedari bahawa pengundi bukan-Melayu tampak tidak berminat untuk keluar mengundi beramai-ramai dalam PRK,” katanya.

Kegagalan mendapat undi bukan-Melayu yang mencukupi akan membawa bencana kepada PPBM kali ini, kata Kamarul.

“Ini kerana, tidak seperti pilihan raya umum Mei lepas, PAS kini tidak ada untuk memecahkan undi,” katanya.

Malah kata Kamarul, PSM, yang mendapat undi terendah Mei lepas, boleh juga berperanan sebagai “pengacau” bagi PH dengan menarik undi bukan-Melayu, terutamanya pengundi India yang mewakili 14% pengundi di Semenyih.

Kamarul bagaimanapun berkata, keputusan PRK Semenyih tidak boleh digunakan sebagai kayu ukur sokongan orang Melayu kepada PPBM di seluruh negara.

Sebaliknya kata beliau, ia (keputusan PRK Semenyih) lebih merupakan ujian sokongan kepada Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari dan kerajaan negeri, terutamanya apabila isu tempatan dibangkitkan dalam PRK itu kelak.

Dengan 45% daripada pengundi di Semenyih berumur kurang 40 tahun, Kamarul percaya faktor calon muda adalah penting.

“PH dan Umno perlu meletakkan calon yang kuat. Muka baru yang terpelajar, berani dan boleh bersuara untuk kepentingan orang Melayu.”

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");