Perak Hari Ini

Projek Ladang Hutan Dijalankan Di Hutan Sekunder – MB

PARIT: Kerajaan Perak menjelaskan bahawa pembangunan ladang hutan di atas tanah seluas 400 hektar di daerah Kinta merupakan hutan sekunder dan bukannya kawasan balak.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata keputusan tersebut dibuat hasil ulasan oleh jabatan-jabatan kerajaan dalam sesi Mesyuarat Jawatankuasa Hutan.

“Apabila kita adakan mesyuarat tersebut, syarikat-syarikat yang memohon untuk mengeluarkan kayu dan sebagainya, telah pun disaring oleh Jabatan Perhutanan Negeri Perak, sebelum ia dipertimbangkan untuk mendapat sebarang konsesi,” katanya.

Tambahnya, prosedur tersebut adalah suatu kebiasaan malah ia turut dilakukan pentadbiran terdahulu yang mana sekiranya terdapat kawasan yang tidak mendatangkan hasil kepada negeri maka, kerja-kerja penanaman semula akan dilakukan.

Selain itu, beliau turut mengulas kenyataan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perak, Datuk Saarani Mohamad yang mempersoalkan kredibiliti syarikat yang terbabit dengan pembangunan ladang hutan tersebut.

Jelas Ahmad Faizal, walaupun syarikat tersebut masih baru ditubuhkan namun, ia mempunyai kaitan dengan syarikat lain yang lebih besar, selain dua orang pengarahnya mempunyai pengalaman yang luas dalam bidang pembangunan ladang hutan.

Katanya lagi, syarikat tersebut akan bekerjasama dengan Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MiTB) bagi mengusahakan ladang hutan di kawasan-kawasan hutan sekunder.

Walau bagaimanapun, Ahmad Faizal menafikan yang beliau mengenali dua orang individu tersebut.

“Contohnya, kita mahu mencari pemaju perumahan. Jika dahulu Tan Sri Liew Kee Sin bersama SP Setia, kita dapati syarikatnya yang hebat, kemudian dia berpindah, membuka syarikat baharu bernama Eco World.

“Apakah Eco World merupakan sebuah syarikat pemaju perumahan yang tidak boleh dipercayai sedangkan semua tahu yang kebolehan Tan Sri Liew sebagai pemaju perumahan yang bertaraf global,” ujarnya.

Dalam pada itu, Ahmad Faizal berkata, isu pencerobohan tanah di cerun Bukit Kledang dengan perkara yang disebutkan ini adalah dua kes yang berbeza.

Beliau juga turut mengalu-alukan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selain menyatakan komitmen pimpinan kerajaan negeri yang akan memberi kerjasama baik berhubung isu ini.

Terdahulu, beliau ditemui pemberita pada majlis Majlis Penyerahan Kunci Rumah PerakKu Program Perumahan Rakyat (PPR) di Seri Iskandar, dekat sini, hari ini.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");