Perak Hari Ini

Proses Pewartaan Habitat Kelip-kelip Kampung Dew Di Peringkat Akhir

IPOH: Proses mewartakan kawasan hidupan kelip-kelip di Kampung Dew, dekat Taiping sebagai zon habitat kelip-kelip, di bawah Hutan Simpan Kekal kini berada di peringkat akhir.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Negeri, Tan Kar Hing berkata, pihaknya sedang menunggu keputusan akhir dari segi teknikal bagi pewartaan kawasan tersebut, sebelum ia dikemukakan pada Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) yang akan datang.

“Saya telah menyemak dengan Pejabat Daerah dan Tanah berkaitan dan memang sebahagian besarnya telah diwartakan.

“Namun saya tidak dapat memastikan angka keluasan kawasan yang diwartakan.

“Kini, kita sedang menunggu proses teknikal untuk kawasan itu diwartakan. Kerja-kerja melibatkan ukuran kawasan dan sebagainya di sepanjang sungai di situ sedang giat berjalan,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi mengulas laporan media pada Ahad yang menyebut kawasan habitat kelip-kelip telah diceroboh tatkala tujuh pokok berembang yang berusia mencecah 35 tahun ditebang pihak tidak bertanggungjawab.

Penduduk tempatan tidak menolak kemungkinan ia merupakan suatu tindakan berbentuk provokasi selain berharap agar kerajaan negeri dapat menyegerakan proses pewartaan di kawasan terbabit.

Dalam pada itu, ujar Kar Hing, beliau berjanji akan melaksanakan proses tersebut secepat mungkin.

Beliau juga mengakui dan diberi maklumat berkenaan aktiviti pencerobohan terhadap kawasan habitat kelip-kelip khususnya oleh pihak yang mengusahakan ladang haram.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada program karnival pelancongan anjuran Persatuan Pelancongan Cina Malaysia (MCTA) Perak di Pasaraya Ipoh Parade, di sini, hari ini.

Pada perkembangan sama, Kar Hing berkata simulasi perjalanan perkhidmatan bas persiaran dua tingkat, Bas Hop-On Hop-Off (HOHO) akan berakhir esok.

Jelasnya, proses simulasi kali ketiga itu akan melibatkan pelbagai agensi kerajaan dan swasta.

“Sekarang semua sudah bersedia termasuk bas tersebut sudah melepasi ujian pemeriksaan kenderaan.

“Sebelum bas itu muncul dengan wajah baharu, kita akan buat simulasi terakhir esok. Kita akan laksanakan pada waktu puncak di mana ia akan menguji perjalanan pada waktu trafik dalam keadaan sibuk,” katanya.

Difahamkan, Bas HOHO Ipoh akan melalui 12 perhentian antaranya di Terminal Bas Amanjaya, Mahkamah Tinggi Ipoh, Masjid Panglima Kinta, Gerbang Malam, Ipoh Parade, dan pekan lama Ipoh.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");