Perak Hari Ini

Rabies: Tiada Kes Baru Di Taiping

IPOH: Semenjak operasi kawalan wabak Anjing Gila ataupun Rabies dijalankan di Taiping Dan Bukit Gantang pada bulan lalu, Jabatan Perkhidmatan Veterinar Perak telah menjalankan pemeriksaan terhadap 5,419 anjing dan 958 kucing.

Pengarahnya, Dr Ahmad Shafri Bin Hassan berkata, daripada jumlah tersebut, sehingga kini sebanyak 4,262 anjing bertuan telah diberi suntikan vaksinasi Rabies.

Katanya lagi, pensampelan terhadap anjing liar di kawasan bersempadanan dengan kawasan pewartaan wabak Rabies yang meliputi Daerah Kerian, Kuala Kangsar dan Kinta setakat ini tidak menunjukkan sebarang tanda penularan wabak tersebut.

“Sehingga kini keadaan wabak Rabies di Taiping masih terkawal, dengan kes positif melibatkan jangkitan Rabies ke atas anjing liar kekal kepada hanya empat kes, seperti mana yang dilaporkan sebelum ini.

“Setakat ini tiada kes baru dikesan di mukim tersebut,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Dalam pada itu ujarnya, perintah kawasan jangkitan Rabies bagi Daerah Larut Matang dan Selama yang dikeluarkan pada 14 Januari 2019 masih lagi berkuat kuasa sehingga kini.

Oleh sebab itu, jelasnya, orang ramai dinasihatkan agar tidak membawa keluar anjing liar daripada kawasan pewartaan wabak kecuali dengan kebenaran bertulis dari Pengarah Perkhidmatan Veterinar negeri.

Katanya lagi, ia bagi mencegah daripada wabak tersebut terus menular ke kawasan lain.

“Pemilik anjing dilarang melepaskan anjing-anjing mereka keluar dari premis tanpa pengawasan ketat walaupun mempunyai lesen atau kolar vaksin.

“Anjing yang didapati berada dalam kawasan jangkitan penyakit anjing gila tanpa pengawasan tuannya, boleh dimusnahkan oleh mana-mana pihak berkuasa daripada Veterinar Negeri, mengikut peruntukkan Akta Binatang 1953,”katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");