Jenayah

Saman Maria Berhubung Penahanannya Di Bawah SOSMA Selesai

KUALA LUMPUR – Kes saman Maria Chin Abdullah terhadap Ketua Polis Negara dan dua lagi berhubung dakwaan penahanannya secara salah di bawah Akta Kesalahan Keselamatan ( Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA), tiga tahun lalu berjaya diselesaikan secara baik di Mahkamah Tinggi di sini hari ini.

Menurut Utusan Online, penghakiman persetujuan penyelesaian tersebut direkodkan oleh Hakim Datuk Nik Hasmat Nik Mohamad ketika pengurusan kes di kamar hakim di sini dengan dihadiri peguam Datuk Dr. Gurdial Singh Nijar bagi pihak Maria dan Peguam Kanan Persekutuan, Kamal Azira Hassan.

Peguam Datuk Dr. Gurdial Singh Nijar berkata, kes berkenaan berjaya diselesaikan selepas Ketua Polis Negara, Menteri Dalam Negeri dan Kerajaan Malaysia yang dinamakan sebagai pihak defendan bersetuju membayar keseluruhan ganti rugi.

Kesemua pihak defendan bersetuju untuk membayar ganti rugi jumlah RM25,000 termasuk faedah serta kos sebanyak RM5,000 kepada bekas Pengerusi Bersih 2.0.

Pada 6 Ogos tahun lalu, Maria, 63, selaku pihak plaintif menyaman ketiga-tiga defendan atas dakwaan menyebabkannya ditangkap, ditahan dan dipenjara secara salah di bawah SOSMA pada 18 November 2016 oleh polis daripada Unit Siasatan Jenayah Terkelas, Jabatan Siasatan Jenayah, Bukit Aman.

Plaintif mendakwa, pihak polis tidak memaklumkan alasan penangkapan itu kepadanya mahupun peguam sehinggalah keesokan harinya barulah dimaklumkan penahan tersebut dibuat di bawah Seksyen 4(4) SOSMA.

Beliau juga mendakwa penahanan secara objektif hanya berdasarkan kepercayaan politik dan dibuat dengan niat terselindung bagi melayani kehendak suatu parti yang merupakan kerajaan ketika itu selain bertujuan untuk menakutkan orang awam daripada menyertai perhimpunan Bersih.

Sementara itu, dalam penyataan pembelaan yang difailkan 3 Oktober lalu, pihak defendan menyatakan tujuan penangkapan tersebut adalah bukan atas dasar politik dan berniat jahat kerana penahanan plaintif adalah sah mengikut undang-undang.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");