Berita Hari Ini

Saya Ada Tenun ‘Bauksit’ – Permaisuri Agong

PEKAN: Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Almarhum Sultan Iskandar pada Jumaat, mendedahkan baginda memiliki baju kurung daripada kain Tenun Diraja Pahang bauksit.

Tunku Azizah bertitah kain tersebut ‘diilhamkan’ apabila baginda dituduh oleh segelintir pihak kononnya baginda terlibat dalam perlombongan bauksit, yang merupakan isu alam sekitar kontroversi di Kuantan pada hujung tahun 2014.

“Apabila saya dituduh mengorek bauksit, saya telah panggil (wakil) Penjara Penor untuk ambil bauksit dan keluarkan satu tenun Diraja Pahang menggunakan warna daripada bauksit.

“Penjara Penor telah keluarkan kain itu yang saya panggil tenun bauksit..bauksit menghasilkan warna yang cantik dan saya harap warna bauksit boleh menjadi produk Pahang,” titah baginda semasa berucap merasmikan Bengkel Kreatif Pewarna Natural di Muzium Sultan Abu Bakar di sini, pada Jumaat, lapor Bernama.

Turut hadir Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Alam Sekitar, Perladangan dan Bioteknologi negeri Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsuddin dan Pengerusi Jawatankuasa Kebudayaan, Perpaduan, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Datuk Seri Shahaniza Shamsuddin.

Untuk rekod, Penjara Penor di sini adalah antara agensi penting dalam penghasilan produk tenun Diraja Pahang, selain Penjara Bentong yang ilmu menenun kain tersebut diajar dan dihasilkan oleh banduan di situ.

Tunku Azizah seterusnya berharap penggunaan bahan alam semula jadi seperti daripada akar dan daun dalam penghasilan tenun Diraja Pahang dapat diperluaskan, yang sekali gus dilihat boleh membawa produk tekstil Pahang itu ke tahap lebih membanggakan.

Baginda juga berkenan berkongsi cerita, dalam mencari ilmu berkaitan warna dan tekstil, baginda dan rombongan telah menjelajah ke pelbagai negara antaranya ke Indonesia, Kemboja, Laos dan Thailand untuk ‘mencari mereka yang pakar’.

“Saya bawa rombongan untuk pelajari teknik yang digunakan mereka, selain corak yang cantik yang boleh kita contohi. Apabila rombongan ini mengikut saya, mereka tahu ia bukanlah bercuti… dari jam 8 pagi sudah keluar dan balik hanya pada waktu malam.

“Sejak saya mengambil alih tenun Diraja Pahang pada tahun 2005, banyak kejayaan yang dinikmati dan kita tidak boleh maju jika tidak menimba ilmu daripada pakar lain yang ada,” titah baginda.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");