Perak Hari Ini

Saya Pun Cintakan Hutan, Alam Semula Jadi – MB Perak

IPOH: Kerajaan Perak sekali lagi mengulangi komitmen dalam terus berusaha bagi memelihara kelestarian alam semula jadi di negeri ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, bukan sahaja badan-badan bukan kerajaan (NGO) sahaja yang menzahirkan rasa kebimbangan sekiranya alam semula jadi di negeri ini terjejas, malah dirinya turut berpendirian yang sama.

“Saya sendiri pun cintakan hutan, alam sekitar serta alam semula jadi kita.

“Maka, kerajaan sentiasa berusaha memastikan dalam waktu kita nak meningkatkan ekonomi negeri, dengan melaksanakan proses penanaman semula hutan, atau pembalakan dijalankan secara mampan, kita juga mahu memelihara alam semula jadi kita,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tentang kenyataan Persatuan Aktivis Sahabat Alam (Kuasa) yang menzahirkan kebimbangan terhadap projek ladang hutan 400 hektar di daerah Kinta.

Dalam satu laporan media tempatan, Kuasa berkata projek tersebut bakal memberi kesan pencemaran sungai yang mana ia bakal menganggu kehidupan dua buah kampung di sekitar kawasan projek.

Menurut Ahmad Faizal, hari ini beliau telah mengarahkan pejabatnya untuk memanggil Kuasa bagi mengadakan perbincangan dalam usaha melestarikan negeri ini, dalam masa terdekat.

Dalam pada itu, beliau berkata usaha tersebut juga bukan sekadar terletak pada bahu NGO semata-mata malah orang ramai turut mempunyai tanggungjawab yang sama.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Jasamu Dikenang Siri 1 2019 di Pusat Konvensyen Casuarina Meru Raya, dekat sini, petang tadi.

Hadir sama, Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Abu Bakar Said serta barisan Exco Kerjaan Negeri.

Pada majlis tersebut, seramai 336 pesara penjawat awam kerajaan negeri bagi tempoh Januari sehingga Jun 2018 telah diraikan.

Turut diraikan ketua-ketua jabatan yang telah bertukar khidmat ke luar Perak.

Pada majlis sama, Kerajaan Negeri juga memberikan insentif berjumlah RM4,000 setiap seorang dalam bentuk Sijil Amanah Saham Bumiputera (ASB) atau dalam bentuk Sijil Simpanan Premium bagi penerima bukan bumiputera.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");