Berita Hari Ini

‘Selama 10 Tahun Mana Pergi MIC’ – Sek Tamil Ladang Semenyih

Pihak Sekolah Kebangsaan Jenis Tamil Ladang Semenyih (SRJKT Ladang Semenyih) hari ini menggesa MIC supaya tidak masuk campur isu pertikaian tanah antara pihak sekolah dengan Sime Darby Property.

Pengerusi Lembaga Pengelola Sekolah (LPS) SRJKT Ladang Semenyih Dr K Sivakumaran mendakwa penglibatan MIC dalam isu ini akan menjejaskan perjuangan pihak sekolah mendapatkan tanah tersebut.

Katanya, ia seperti yang terkandung dalam Garis Panduan Perancangan Bandar dan Desa Selangor pada 2010 bahawa sebuah sekolah rendah perlu diberi tanah minimum seluas enam ekar bagi kawasan permukaan rata dan 8 ekar bagi kawasan berbukit.

“Terima kasih MIC kerana sudi hadir membuat demontrasi bagi pihak kami. Tetapi, kami harap MIC tidak lagi masuk campur dalam isu ini,” katanya kepada Malaysiakini.

Beliau turut mempersoalkan ke mana perginya MIC selama ini sedangkan isu ini berlanjutan lebih 10 tahun.

Untuk rekod, semalam MIC mengadakan satu demonstrasi di hadapan sekolah menggesa kerajaan negeri memberi perhatian kepada isu pertikaian tanah berkenaan.

Tepati garis panduan

Timbalan Presiden MIC, M Saravanan yang mengetuai demontrasi tersebut menyifatkan pilihan raya kecil (PRK) Semenyih sebagai peluang untuk menyelesaikan isu pertikaian tanah melibatkan Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Tamil (SRJKT) Ladang Semenyih.

“Ini adalah perjuangan kami dengan kerajaan negeri yang masih tidak menjawab soalan kami. Kami nak enam ekar tanah seperti yang terdapat dalam garis panduan.

“Dengan penglibatan MIC, pemimpin PH akan dakwa bahawa kami telah dibeli oleh MIC. Lagipun, kami percaya MIC hanya turun ke sini untuk meraih sokongan di sini menjelang PRK (Pilihan Raya Kecil) Semenyih,” jelas Sivakumaran lagi.

Beliau juga mendakwa kerajaan Selangor memaksa pihak sekolah menerima tanah seluas 3.8 ekar yang diberikan sekarang.

“Kerajaan negeri pula memaksa kami untuk mengambil 3.8 ekar yang diberikan sekarang,” katanya.

SRJKT Ladang Semenyih ditubuhkan pada 1948 di atas tanah milik sebuah syarikat perladangan sebelum dijual kepada Sime Darby Property.

Bagaimanapun, pertikaian terjadi pada 2010 apabila pihak sekolah hanya diberi 3.8 ekar tanah berbanding peruntukan yang ditetapkan garis panduan Selangor iaitu minimum seluas enam ekar tanah.

Pihak sekolah sebelum ini mendesak supaya kerajaan negeri menepati garis panduan berkenaan, sementara Sime Darby Property pula berkata pihaknya dalam proses mendapatkan semula sebidang tanah yang diduduki sekolah berkenaan.-Mkini

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");