Perak Hari Ini

“Shaharuddin Pernah Melobi Jawatan MB Perak”

TAIPING: Kesemua ahli di peringkat akar umbi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Bukit Gantang menyambut baik keputusan pimpinan pusat yang membubarkan beberapa jawatankuasa bahagian yang bermasalah di Perak.

Bekas Setiausahanya, Roslan Mat Dan berkata masalah yang dihadapi bahagiannya sudah mula timbul sewaktu sebelum Pilihanraya Umum Ke-14 (PRU14) diadakan.

Kata beliau, ekoran pembubaran tersebut, Datuk Shaharuddin Rashid bukan lagi menduduki jawatan Ketua Bersatu Bahagian Bukit Gantang seperti yang didakwa sebelum ini.

Malah ujarnya, Shaharuddin gagal menjalankan tugasnya sebagai ketua bahagian selain didakwa mementingkan agenda peribadi berbanding parti.

“Sebelum PRU lalu, beliau ‘sibuk’ melobi jawatan Menteri Besar dengan menawarakan pelbagai janji manis kepada pihak tertentu seperti menawarkan jawatan dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan lain-lain lagi.

“Kelemahan kepimpinan dan sikap beliau yang hanya mengutamakan agenda peribadinya adalah faktor utama mengapa semua calon Bersatu di Bukit Gantang gagal menewaskan UMNO dalam PRU-14.

“Malah Datuk Shaharuddin sendiri gagal merampas DUN Trong serta mendapat undi yang tercorot dikalangan calon yang bertanding,” katanya dalam satu sidang media di sini, hari ini.

Tambah Roslan, tindakan Shaharuddin yang sengaja melewat-lewatkan pendaftaran bahagian parti kepada pusat sebelum PRU14 dilihat seolah-olah sengaja mensabotaj parti dan bahagian.

Katanya, ekoran masalah tersebut, Bersatu Bukit Gantang tidak dapat menjalankan gerak kerja pilihanraya dengan baik ketika itu.

Dalam pada itu, beliau turut menempelak cadangan Shaharuddin yang mahu Ahli Parlimen Larut, Datuk Seri Hamzah Zainuddin menggantikan tempat Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu bagi jawatan Pengerusi Bersatu Perak

Katanya tindakan tersebut jelas menunjukkan Shaharuddin gagal dalam memahami aspirasi kesemua ahli dan parti.

Ujarnya lagi, tuduhan liar Shaharuddin terhadap kepimpinan Bersatu disifatkan sebagai pengkhianatan parti yang tidak dapat diterima oleh ahli-ahli di peringkat akar umbi.

“Tindakan terdesak Datuk Shaharuddin melemparkan tuduhan liar kepada kepimpinan parti di peringkat pusat dan negeri hanyalah semata-mata bertujuan mahu mengalihkan perhatian daripada masalah kepimpinan beliau sendiri di Bahagian Bukit Gantang,” jelasnya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");