Berita Hari Ini
1

Siapa Bagi RM2.5 Juta? – Soal Clare Kepada Hadi

February 10, 2019
658 Views
0 Comments
2 minutes read
Siapa Bagi RM2.5 Juta? – Soal Clare Kepada Hadi

KUALA LUMPUR: Pengarang Sarawak Report, Clare Rewcastle Brown meminta supaya Pas menjadi sebuah parti yang telus bukan sahaja kepada rakyat Malaysia, malah kepada ahlinya.

Beliau turut mencabar presiden parti berteraskan Islam itu, Datuk Seri Abdul Hadi Awang untuk menjelaskan kenyataan tidak konsisten beliau berhubung penyaluran dana RM2.5 juta dari UMNO kepada Pas.

“Tunjukkan ketelusan sebagai sebuah parti politik. Dedahkan sumber kewangan. Cabaran pertama saya, siapa yang bagi RM2.5 juta? Menerusi bukti saya kepada mahkamah, saya telah memberikan perincian bukti.

“Saya memberi perincian bukti bermakna saya serahkan kepada pihak berkuasa yang bertanggungjawab yang mana ia juga kini terdapat di dalam talian.

“Ia merupakan pembayaran secara tunai berjumlah RM2.5 juta oleh pemimpin kanan UMNO kepada Pas sebelum pilihan raya. Bila saya bangkitkan isu ini, Hadi berkata dia tidak tahu siapa yang menyalurkan wang itu. Namun selepas itu, Hadi secara terbuka berkata, bukan UMNO yang menyalurkan wang itu.

“Jadi kenyataan beliau dilihat tidak konsisten. Justeru, perkara pertama yang harus dilakukan Pas adalah mengatakan sama ada mereka tahu siapa yang memberi mereka RM2.5 juta yang masuk ke dalam akaun mereka sebelum pilihan raya secara tunai atau menafikannya dan jika mereka kata tidak atau menafikannya, kenapa mereka memberitahu orang yang mereka tahu bukan UMNO yang memberikan wang tersebut.

“Jadi persoalan juga, mengapa mereka menerima wang tunai begitu banyak daripada orang yang mereka tidak tahu siapa. Itu cabaran saya kepada Pas,” katanya ketika ditemubual Astro AWANI.

Jelasnya, kewajipan untuk mengemukakan bukti pada ketika ini adalah di tangan Pas dan bukan dirinya.

“Kenapa saya yang perlu memberikan butiran itu? Pas yang membuka akaun mereka, menunjukkan wang apa yang masuk, tunjukkan dari mana sumbernya dan dibelanjakan untuk apa.

“Bagaimanakah mereka mendapat wang untuk bertanding di beberapa kerusi pada pilihan raya lalu? Maksud saya, mereka hanya perlu menjelaskan semuanya, jadi kita boleh yakin bahawa ia adalah wang yang mana ia adalah dari ahli-ahlinya seperti yang mereka dakwa,” tambahnya.

Komen & Pendapat

Comments are closed.