Panasnya Hari Ini

SPRM Patut Siasat Parti Lain Juga, Kata Abdul Hadi

MARANG: PAS mahu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjalankan siasatan sama terhadap parti politik lain sebagaimana dihadapi PAS berhubung dakwaan parti itu menerima dana RM90 juta daripada 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Presidennya, Datuk Seri Hadi Awang, berkata parti politik lain terutama DAP dan Parti Amanah Negara (AMANAH) perlu disiasat SPRM bagi menentukan sumber kewangan diperoleh sebagai dana untuk kegiatan politik parti, terutama pada musim pilihan raya.

Beliau berkata, SPRM perlu bersikap adil dan menyiasat semua parti politik, terutama DAP dan AMANAH yang tidak mempunyai banyak cawangan di seluruh negara.

“Patutnya kena tanya pada parti lain jugalah mana mereka dapat duit (untuk jalankan kegiatan parti). Jangan tuding jari pada PAS sahaja. Parti lain dapat sumber (kewangan) dari mana?

“DAP mana ada cawangan, PAN (AMANAH) mana ada cawangan. Mereka bertanding begitu saja. Jadi mana duit mereka datang? Kena siasat itu, siasat semua,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Rusila di sini, hari ini, lapor BH Online.

Beliau mengulas berhubung empat individu yang dianggap saksi penting dalam siasatan kes beberapa pemimpin PAS didakwa menerima RM90 juta daripada 1MBD yang memberi keterangan kepada SPRM hari ini.

Abdul Hadi berkata, PAS tidak takut dengan peruntukan undang-undang dan sedia mendedahkan sumber parti itu memperoleh dana pembiayaan kegiatan politiknya.

“Kita boleh dedahkan dari mana sumber kita. Parti lain pun kena dedah dan kita tahu ada parti politik yang tak mahu undang-undang ini. Ada parti yang tak mahu kerana takut. Kita tak takut. Tak boleh sebutlah parti yang takut tu,” katanya.

Beliau berkata, PAS yang mempunyai lebih satu juta ahli dan lebih 190 kawasan di seluruh negara mendapat sumber kewangan daripada ahlinya.

“Sumber kita ialah ahli kita sendiri. Di seluruh negara kita mempunyai lebih 190 kawasan, lebih sejuta ahli dan kita mampu buka beribu PASTI (Pusat Asuhan Tunas Islam) serta beratus sekolah di bawah PAS.

“Jangan peliklah daripada mana PAS dapat duit. Jelas duit daripada poket kita sendiri. Orang kita sendiri yang bertungkus lumus menyumbang derma,” katanya.

Abdul Hadi berkata, PAS bersedia untuk disiasat SPRM pada bila-bila masa dan sedia memberi kerjasama penuh sepanjang proses siasatan.

“PAS buka pintu pada SPRM untuk siasat. Memang kita suka orang siasat ni sebab kita mahu jadi parti yang bersih. Bukan cukup dengan kenyataan menteri di Parlimen sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) sahaja.

“Ada soalan di Parlimen ketika itu berapa ramai Ahli Parlimen kepada semua parti politik yang disiasat dan (jawapan menteri) BN ada jumlah yang disiasat, Pakatan Harapan (PH) ada jumlah yang disiasat, tapi PAS tak ada (jumlah yang disiasat),” katanya.

Beliau berkata, dakwaan PAS menerima dana RM90 juta daripada 1MDB itu dibuat atas kepentingan politik pihak tertentu semata-semata bagi menghilangkan kepercayaan rakyat kepada parti itu.

“Alhamdulillah kita (PAS) menang PRU-14 dengan pertahankan Kelantan dan menang di Terengganu serta hampir nak menang di Kedah. Di Kedah kita menjadi parti yang paling besar dan di Pahang pula kita kerusi terbanyak.

“Di Parlimen kita 18 kerusi, di Dewan Undangan Negeri ada 90 kerusi. Bermakna fitnah mereka gagal. Kita semua mendapat kejayaan lain,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");