Membawang Hari Ini

‘Sudirman Yang Ku Kenali’, Dari hati Saodah Ismail

KUALA LUMPUR: Sejauh mana kita mengenali penghibur legenda Allahyarham Datuk Sudirman Haji Arshad? Jawapan yang diberikan pasti berbeza kerana ada yang hanya mengenali Sudirman dari sisi luaran sebagai penyanyi pujaan ramai dan menjadi kebanggaan negara.

Bagaimanapun, berbeza dengan bekas wartawan hiburan akhbar Harian Metro dan Berita Harian, Saodah Ismail yang pernah menjadi antara individu paling rapat dengan Sudirman.

Justeru, menurut laporan Harian Metro, tidak hairanlah Saodah tampil menulis pengalamannya bersama Sudirman menerusi buku berjudul Sudirman Yang Ku Kenali, 27 tahun selepas kematian penghibur bergelar ‘The Singing Lawyer’ ini.

“Saya nak beritahu kenapa selepas 27 tahun baru saya tulis buku ini? Sebabnya bukan senang nak tulis buku orang yang sudah tiada.

“Ini kerana banyak fakta yang kita kena cari dengan betul. Dalam wikipedia ditulis Sudirman dilahirkan pada 1955, sedangkan di batu nisannya ditulis dia lahir pada 1954.

“Jadi, butir-butir begini yang perlu dilihat. Walaupun nampak kecil, kita kena dapat fakta yang betul kerana orang sudah tiada lagi untuk kita pastikan,” katanya pada pelancaran buku ini di Restoran Puteri, Sungai Penchala, baru-baru ini.

Saodah berkata, tulisannya dalam buku ini sangat jujur berdasarkan pengalamannya bersama Sudirman.

“Saya tak mahu legenda Sudirman hilang begitu saja. Ketika dia baru meninggal dunia, semua orang janji nak buat itu dan ini.

“Kata nak buat institusi, galeri dan muzium. Ada yang kata nak letakkan nama Jalan Sudirman dan kemudian biasiswa Sudirman untuk anak-anak muda yang berbakat besar, tapi tengoklah, lama-kelamaan tiada apa-apa pun.

“Kubur Sudirman pun hanya keluarga dan kelab peminat yang jaga. Kita belum ada satu bentuk penghargaan untuknya,” katanya.

Menurutnya, Sudirman seakan-akan tidak dikenang, tetapi setiap tahun semua pihak memujanya menerusi lagu Tanggal 31 dan lagu raya seperti Dari Jauh Ku Pohon Maaf dan Balik Kampung.

“Tarikh 22 Februari (semalam) orang pasti akan bercakap berkenaan kematian Sudirman, tapi setakat itu saja. Jadi, sebagai seorang kawan, saya menulis buku mengenai Sudirman kerana tak mahu namanya hilang begitu sahaja.

“Setiap yang ditulis dalam buku ini semuanya lahir daripada hati dan tiada apa yang disembunyikan. Apa yang peminat baca adalah daripada hati saya dan diharap ia akan sampai ke hati mereka,” katanya.

Saodah berkata, dia tidak bimbang akan menjadi sasaran atau kecaman mana-mana pihak kerana tiada kontroversi bukan-bukan yang dimuatkan dalam buku ini.

“Saya tak tokok tambah yang bukan-bukan. Saya tulis apa yang saya tahu kerana saya seorang kawan. Inilah sebabnya buku ini diberikan judul Sudirman Yang Ku Kenali.

“Pada 22 Februari tahun lalu, kelab peminat Sudirman adakan tahlil di Restoran Puteri, Sungai Penchala. Saya berjumpa dengan kakak Sudirman, Datin Rodziah dan beritahu nak tulis buku mengenai Sudirman.

“Dia tak kata apa-apa dan tersenyum. Bagi saya itu adalah isyarat dia bersetuju dengan kata-kata saya,” katanya.

Saodah menjelaskan dia beruntung kerana mendapat kerjasama kelab peminat Sudirman yang membantu meminjamkan gambar serta memberi maklumat lain.

Tidak ketinggalan dia juga mendapatkan pandangan individu lain seperti penulis lirik terkenal, Habsah Hassan, bekas pengurus Sudirman, Dharanee Dharan Kannan, bekas wartawan hiburan dan pengarang, Intan Zabidin, Norisah

Sulaiman dan Dr Syed Iskandar Syed Jaafar yang pernah terbabit secara langsung dan mempunyai hubungan akrab dengan penyanyi ini.

Sementara itu, Habsah memuji usaha Saodah dan tidak mahu ada pihak mempertikaikan apa yang ditulisnya.

“Tulisan ini daripada hati Saodah dan ‘feeling’ orang membacanya pasti lain. Ini adalah perspektif Saodah dan ia berdasarkan pengalamannnya.

“Hubungan saya dengan Sudirman pula ibarat kakak dan pasti berbeza. Saya berkongsi sekadarnya sahaja membantu Saodah,” katanya.

Sudirman menghembuskan nafas terakhir pada 22 Februari 1992 selepas menderita penyakit radang paru-paru.

Pelancaran buku Sudirman Yang Ku Kenali dilakukan Sasterawan Negara (SN), Datuk Seri A Samad Said.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");