Membawang Hari Ini

Suhaimi Direhatkan Daripada Konsert Amal

PENYANYI Suhaimi Saad yang juga bekas anggota kumpulan nasyid Inteam direhatkan daripada Konsert Amal 4Nomena Alumni UIAM yang bakal berlangsung di Dewan Utama, Pusat Kebudayaan, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) pada 20 April ini.

Wakil penganjur yang juga pengarah KGM Event, Mahmud Fahrurrazey berkata, keputusan itu dibuat selepas mengambil kira segenap sudut pandangan dan keperluan demi kelangsungan penganjuran konsert amal itu.

Katanya, pihaknya sedia maklum mengenai kontroversi melanda Suhaimi berhubung beberapa kenyataan yang berbaur provokasi sehingga bukan saja menerima reaksi kurang senang dalam kalangan netizen malah turut mendapat liputan meluas di media massa.

“Selaku penganjur ini, kami berasa amat kesal perkara ini menjadi isu sangat besar sehingga mencetuskan perang mulut membabitkan banyak pihak dan Suhaimi sendiri yang sangat kami hormati secara peribadi.

“Selepas mengambil kira segenap sudut pandangan dan keperluan demi kelangsungan penganjuran konsert amal ini di masa akan datang, kami bersepakat untuk merehatkan Suhaimi daripada konsert kali ini.

“Keputusan ini juga diambil untuk memberi sedikit ruang kepada dirinya atas persetujuan bersama dengan kedua belah pihak setelah berbincang dengan teliti,” katanya.

Menurut Mahmud, pihaknya ada berhubung dengan Suhaimi bagi mendapatkan penjelasan mengenai isu yang tular.

Bagi menjawab pertanyaan media katanya, mereka sebagai penganjur berpendirian, kontroversi itu pada mulanya dilihat sebagai isu kecil tercetus daripada keterlanjuran khilaf yang mungkin tidak disengajakan atas kapasiti peribadi.

Menurutnya, ia tidak sedikitpun mengurangkan keyakinan mereka untuk bergandingan dengan beliau bagi menjayakan penganjuran konsert amal itu.

“Untuk pengetahuan semua, sepanjang bekerjasama dengan Suhaimi, kami mengenali karakter dirinya iaitu seorang yang sangat komited dalam menyokong sebarang program berunsurkan dakwah dalam memperjuangkan irama nasyid.

“Dia juga kami sifatkan sebagai artis yang memiliki karisma dan berbakat besar.

“Pihak kami ada berhubung dengan Suhaimi baru-baru ini untuk mendapatkan penjelasan mengenai kontroversi yang melanda selain untuk berbincang dengan lebih lanjut mengenai pembabitan beliau dalam konsert ini,” katanya.

Dalam masa sama, Mahmud berharap salah faham yang timbul dapat diselesaikan segera.

“Kami menyerahkan kepada kebijaksanaan dan kematangan Suhaimi untuk menyelesaikan segala kemelut yang berlaku dengan penuh berhemah dan integriti.

“Kami sangat optimis dan berharap supaya segala salah faham yang terjadi dapat diselesaikan dalam masa terdekat,” katanya.

Pada konsert itu, kumpulan nasyid yang bakal membuat persembahan seperti Hijjaz, Inteam, UNIC dan Mestica.

Selain itu, terdapat juga persembahan istimewa daripada bekas anggota kumpulan nasyid yang kini aktif bergerak secara solo iaitu Fitri Haris, Hafiz Hamidun dan Fadzli Aziz (UNIC).-Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");