Berita Hari Ini

Tender Bekal Baja Subsidi Mungkin Diberi Kepada NAFAS

GURUN: Tender membekal baja menerusi skim subsidi negara dijangka diberi secara terus kepada kilang milik Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) iaitu NPK Fertilizer Sdn Bhd.

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Amiruddin Hamzah, berkata walaupun pemberian tender terbuka adalah polisi di bawah Pakatan Harapan (PH), namun kerajaan juga melihat kepada keperluan tertentu dalam pelaksanaan sesuatu tender.

“Bila kata demikian (tender terbuka) bukan tidak ada langsung kemungkinan berlaku rundingan terus kepada pembekal kerana ia berdasarkan kepada sesuatu keperluan.

“Sebagai contoh, keperluan pembekalan peralatan pertahanan negara yang kita tidak boleh buat ‘request of proposal’ sebab kita perlu ia menjadi rahsia (pertahanan negara) bagi mengelak diketahui ramai, jadi kita perlu terus kepada pembekal,” katanya, sebagaimana dilaporkan BH Online.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melawat kilang baja NPK Fertilizer Sdn Bhd, di sini, hari ini.

Amiruddin berkata, terdapat keperluan untuk tender pembekalan baja padi itu diberikan secara terus kepada kilang NAFAS berikutan lebih 90 peratus pesawah padi adalah ahli Pertubuhan Peladang yang kemudian bergabung semuanya di bawah NAFAS.

“Sebenarnya ini produk dihasilkan kilang (NAFAS), kemudian ia kembali kepada ahli itu sendiri.

“Kerajaan mengambil berat perjalanan Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) kerana ia memberikan faedah apabila dapat keuntungan dan apabila kilang membuat keuntungan, ia membayar dividen kepada ahli,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, isu pemberian tender itu masih pada peringkat perbincangan antara kementeriannya bersama pihak berkaitan termasuk Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani sebelum sebarang keputusan dibuat.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");