Berita Hari Ini

Tiada Nama Siti Nurhaliza Dalam Senarai Calon

Parti Bersatu sama sekali tidak mengetahui nama penyanyi nombor satu negara Siti Nurhaliza Tarudin ada dalam senarai calon mereka untuk PRK Semenyih.

Timbalan Presiden Bersatu Mukhriz Mahathir berkata beliau yang terlibat secara langsung dalam proses penilaian dan pemilihan calon untuk PRK itu tidak menemui nama Siti Nurhaliza dalam senarai tersebut.

“Itu khabar angin sahaja kot, sebab saya terlibat dalam proses pemilihan calon dan nama dia (Siti) tidak timbul setakat ini dan tak tahulah kalau ada cadangan lepas ni.

“Jadi anggota Bersatu atau tidak, itu pun saya tidak pasti,” katanya kepada pemberita di Alor Setar hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas khabar angin kononnya Siti Nurhaliza akan bertanding mewakili PH dalam PRK Semenyih yang dijadualkan berlangsung pada 2 Mac depan.

Siti Nurhaliza pada 5 Feb juga menafikan khabar angin kononnya beliau akan menjadi calon PH dalam PRK berkenaan.

Dalam hantaran di Instagram, penyanyi popular itu menggunakan hashtags #BukanDunSemenyih #sayabukancalonbertanding #sayacumakayuhje dengan disertakan gambar beliau dan suaminya Khalid Mohd Jiwa berbasikal ke empangan Semenyih.

PRK Semenyih itu diadakan ekoran kematian wakil rakyatnya Bakhtiar Mohd Nor, 57, pada 11 Jan lepas akibat serangan jantung.

Sementara itu, diminta mengulas mengenai dakwaan perselisihan pandangan berhubung calon Bersatu, Mukhriz yang juga Menteri Besar Kedah berkata perkara itu hanyalah propaganda yang dibuat pihak lawan.

“Apabila nama calon dikeluarkan ada yang cepat-cepat hendak buat perang saraf kononnya berlaku perpecahan dalam Bersatu. Ini semua taktik lama, dalam parti lama (Umno) pun macam itu juga dan saya tahu ini orang luar yang buat dan bukannya anggota parti.

“Proses pemilihan calon masih berjalan dan kita pertimbang semua tokoh yang hendak dicalonkan dan tidak mengehadkan berapa jumlah calon.

“Ada daripada bahagian, sayap, Srikandi, Armada dan luar bahagian juga yang mahu bertanding, jadi kita akan tengok semua itu,” katanya.

Pada Isnin lepas, sebuah portal melaporkan beberapa sepanduk dipasang berhampiran sebuah simpang jalan di Semenyih dan risalah yang memaparkan beberapa gambar individu yang didakwa berkemungkinan dicalonkan telah dipangkah.

Terdahulu, Mukhriz bersama barisan exco menghadiri Majlis Sambutan Tahun Baharu Cina yang dihadiri lebih 1,000 pengunjung di Dewan Seri Mentaloon.

– Bernama

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");