KUALA TERENGGANU: Seorang wanita, anak perempuannya serta dua cucunya diselamatkan oleh tiga pemancing yang segera terjun ke Sungai Terengganu dekat Pulau Warisan, selepas kenderaan pacuan empat roda Mitsubishi Storm yang mereka naiki menggelungsur ke dalam sungai itu.
Bagaimanapun, seorang daripada tiga pemancing itu dikhuatiri lemas selepas menyelamatkan wanita berkenaan bersama-sama anak dan cucunya.
Dalam kejadian kira-kira jam 9.40 malam itu, mangsa dikenali sebagai Abdul Bari Arshad, 31, dari Kampung Panji, Kuala Terengganu bersama tiga lagi yang lain terjun ke dalam sungai sejurus kejadian untuk membantu menyelamatkan keluarga berkenaan.
Ketua Cawangan Pengurusan Operasi dan Balai Jabatan Bomba dan Penyelamat Terengganu, Penguasa Bomba, Mazimi Mohamad berkata, bagaimanapun, tiga lelaki yang lain berjaya naik ke darat, manakala mangsa dikhuatiri lemas.
Beliau berkata, sebelum kejadian empat mangsa berada di dalam kenderaan berkenaan sebelum ia terjunam ke dalam sungai.
“Sebelum kejadian isteri pemilik kenderaan berusia 50-an mahu mengalihkan kenderaan itu tanpa menyedari ia berada dalam posisi gear mengundur sebelum menghidupkan enjin.
“Ia dipercayai menyebabkan kenderaan itu yang diparkir secara mengundur meluncur ke dalam sungai.
“ Ketika kejadian, pemilik kenderaan berusia 50an berada di tepi kenderaan,” katanya, sebagaimana dilaporkan BH Online.
Beliau berkata, usaha mencari dan menyelamat mangsa giat dijalankan.
“Kita menggunakan kaedah selaman membabitkan tujuh anggota Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) bagi mencari dan menyelamat mangsa,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.
Seorang daripada tiga penyelamat, Omar Abdul Aziz Othman, 27, ketika kejadian, dia bersama ahli keluarga baharu tiba ke pulau berkenaan untuk beli belah kira-kira jam 9.30 malam.
“Kira-kira sepuluh minit selepas itu saya terdengar jeritan orang minta tolong dan segera ke lokasi sebelum terjun ke sungai.
“Saya berjaya menyelamatkan dua wanita yang hampir lemas kira-kira lebih 50 meter dari tebing, manakala tiga lagi diselamatkan penyelamat lain.
“Ketika itu saya dapati mangsa yang juga penyelamat pertama dalam keadaan tenggelam timbul,” katanya.
Semua lima mangsa terbabit dikejarkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) untuk rawatan lanjut.