Perak Hari Ini

Tular Lulus Permit Ceroboh Hutan: Ahli Parlimen Kampar Mahu SPRM Turut Siasat

IPOH: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) digesa untuk menyiasat dakwaan tentang kelulusan permit pembangunan ladang hutan yang dijalankan di dalam Hutan Simpan Kledang Saiong dan Hutan Simpan Bukit Kinta.

Ekoran paparan surat kelulusan yang tular baru-baru ini, Ahli Parlimen Kampar, Thomas Su Keong Siong tampil membuat laporan kepada SPRM, hari ini bagi menyiasat perkara tersebut.

Menerusi surat tersebut, dikatakan Jabatan Perhutanan Negeri Perak telah meluluskan kawasan seluas 400 hektar kepada sebuah syarikat yang beralamat di Taiping.

Kata Thomas, pemberian permit kelulusan kepada syarikat terbabit adalah diragui kerana hasil siasatannya mendapati syarikat tersebut hanya beroperasi tidak kurang daripada lima bulan.

Jelasnya, syarikat tersebut telah ditubuhkan pada 26 Julai 2018, manakala kelulusan permit pula diberi kepada syarikat itu pada 14 Disember, tahun yang sama.

“Bagaimana sebuah syarikat yang beroperasi tidak kurang daripada lima bulan, tanpa sebarang trek rekod dan hanya mempunyai 2 pemegang saham boleh diberikan hak di atas tanah seluas 400 hektar di dua kawasan, untuk projek ladang hutan, dalam hutan simpan,” katanya.

Selain itu, beliau turut menggesa agar kerajaan negeri dapat meneliti semula polisi pemberian tanah kepada syarikat-syarikat seumpama itu.

Beliau juga turut mendesak agar Kerajaan Perak membatalkan lesen syarikat tersebut.

“Dikatakan projek di atas tanah 400 hektar itu diberi untuk tempoh 50 tahun dan kelulusannya perlu diperbaharui setiap tahun.

“Jadi, saya mendesak Menteri Besar agar dapat mengambil tindakan secepat mungkin, dengan memberhentikan segera semua aktiviti syarikat itu.

“Sekiranya dalam 400 hektar tanah itu, masih ada baki tanah yang belum diteroka, jangan benarkan mereka daripada terus berbuat demikian. Batalkan lesen mereka,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui di perkarangan Bangunan SPRM Perak Meru Raya, dekat sini, hari ini.

Hadir sama beberapa ahli daripada Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam Malaysia (Peka).

Dalam pada itu, kata Thomas beliau hanya membuat laporan berdasarkan paparan surat muka pertama, yang tular tersebut dan tidak mempunyai maklumat terperinci berkenaan dokumen itu.

Ujarnya lagi, beberapa pihak sebelum ini telah membuat laporan polis berhubung kes yang sama.

Beliau juga menyambut baik kenyataan Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu yang juga akan menyiasat paparan surat yang tular berkenaan, pada kelmarin.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");