Panasnya Hari Ini

UMNO Dan PAS Tidak Akan ‘Bernikah’

MELAKA: Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menyatakan parti itu tidak akan membentuk satu gabungan dengan UMNO, namun kekal bersatu memperjuangkan satu agenda yang sama.

Beliau berkata, ibarat ‘adik-beradik’ yang mempunyai ideologi berbeza, UMNO dan PAS tetap berjuang untuk membela dan mempertahankan Islam dan bangsa Melayu.

“Dalam Islam kita bersaudara. Apabila bersaudara, adik beradik, kita tidak boleh bernikah, yang penting kita ‘adik-beradik’ kena bersatu walaupun berbeza pendapat.

“Jadikan setiap pertemuan (UMNO dan PAS), bagi mengembalikan semula kekuatan kita (Islam dan Melayu),” katanya, sebagaimana dilaporkan BH Online.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Ceramah Perdana bertajuk ‘Islam Memimpin’ anjuran bersama PAS dan UMNO Melaka, di Dewan Muallim Bukit Katil di sini, malam tadi.

Yang turut hadir, Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa; Pesuruhjaya Pas Melaka, Kamaruddin Sidek dan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.

Mengulas lanjut, Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang, turut kecewa apabila mengenangkan senario umat Islam dan Melayu dilihat berpecah disebabkan politik pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Lebih menyedihkan, katanya, ada generasi muda yang kurang memahami sejarah negara dan tidak berpuas hati kepada UMNO dan PAS menyebabkan mereka tersalah pilih.

“Generasi muda pada ketika itu lebih banyak percaya kepada telefon bimbit (Internet),” katanya.

Sementara itu, Annuar dalam ucapannya berkata, UMNO dan PAS akan terus berjuang mengikut pendekatan masing-masing tanpa mengabaikan matlamat.

“Kita (UMNO dan PAS) perlu bersatu semula, kita hilang kekuatan kerana kita berpecah-belah jadi mulai sekarang kita berjuang dengan cara masing-masing tapi matlamat kita tetap satu,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");