Berita Hari Ini

Undi Majoriti Tinggi Bekalan Selesa PH

SEMENYIH: Pakatan Harapan (PH) yakin kemenangan dengan undi majoriti besar diperoleh penyandang terdahulu tidak menjejaskan sokongan bakal diraih pakatan itu untuk terus mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih pada Pilihan Raya Kecil (PRK) kali ini.

Timbalan Presiden PH yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata simulasi dijalankan pihaknya mendapati walaupun majoriti diperoleh PH mungkin menurun, namun ia masih dalam skala kemenangan.

“Kita sudah ambil kira dalam kajian sebelum ini di mana kita dapat 6,000 undi majoriti. Kalau kita buat simulasi undi turun (disebabkan kerjasama UMNO-PAS), kita masih ada 1,989 undi (majoriti).

“Kalau kali ini, apa bentuk kerjasama mereka tidak begitu penting, apa yang penting kita mesti bekerja keras. Dalam kalangan mereka ini kita tak tahu siapa tunggang siapa, boleh jadi PAS tunggang UMNO,” katanya pada sidang media selepas majlis pengumuman calon PH di sini, hari ini.

Ditanya sama ada faktor calon PH, Muhamad Aiman Zainali dipilih berikutan beliau mempunyai pertalian dengan bekas penyandang, Muhyiddin berkata ia sama sekali tidak diambil kira.

“Tidak begitu. Dia (Aiman) disenaraikan oleh bahagiannya (BERSATU Hulu Langat). Jadi kita buat penilaian kepada setiap calon. Ada enam calon dan ini yang terbaik.

“Saya harap begitulah kalau dia boleh bantu kemenangan,” katanya ketika ditanya sama ada faktor calon adalah menantu kepada bekas penyandang mampu menarik undi kepadanya.

Kerusi DUN Semenyih kosong selepas penyandangnya, Bakhtiar Mohd Nor, 57 tahun, meninggal dunia pada jam 4.45 pagi pada 11 Januari lalu di Hospital Kajang akibat serangan jantung.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 lalu, Bakhtiar yang mewakili BERSATU menang dengan majoriti 8,964 undi mengalahkan Datuk Johan Abd Aziz (Barisan Nasional), Mad Shahmidur Mat Kosim (PAS) dan S Arutchelvan (PSM).

Allahyarham yang juga Ketua Bahagian BERSATU Hulu Langat memperoleh 23,428 undi.

Sementara itu, Aiman yang ditemui media tidak mahu menggunakan faktor menantu sebagai modal menarik sokongan pengundi di kawasan berkenaan.

Sebaliknya, anak muda itu mahu isu setempat seperti kesesakan jalan di pekan Semenyih serta masalah di kawasan pedalaman dan perkampungan menjadi modalnya sepanjang tempoh 14 hari berkempen kelak.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");